Shafnida Syuhaimi Sedia Dikritik



“Sebelum bergelar artis lagi saya sebagai adik Eira Syazira pun sudah kena kritik, inikan pula apabila sudah bergelar artis,” ujar pendatang baru, Shafnida Syuhaimi ketika mengulas mengenai kesediaannnya berdepan kritikan apabila melakonkan adegan ‘kahwin’ dan romantik bersama abang iparnya, Azad Jasmin dalam filem, ‘Fobia Malam Pertama’.

“Saya sangat bersedia dengan segala kritikan kerana saya sudah membuat persediaan dari awal sebelum masuk dalam industri. Saya bersedia dikritik bukan saja mengenai adegan berkahwin dengan abang ipar, tapi juga andai ada pihak yang menyamakan lakonan saya dengan kakak saya,” tutur gadis berusia 24 tahun ini.

Ketika ditemui di prebiu filem tersebut baru-baru ini, penuntut Ijazah jurusan Komunikasi Massa di Universiti Segi ini turut berkongsi pengalaman pertamanya menceburi bidang lakonan serta adegan lakonan ‘berkahwin’ dengan abang iparnya dalam filem arahan Murali Abdullah itu.




“Mula-mula saya rasa malu nak tengok diri sendiri di skrin, sebab nama tajuk pun dah macam lucah. Tapi, saya berpuas hati dengan lakonan pertama saya. Tidak dinafikan apabila perlu berlakon watak kahwin dan romantik dengan abang ipar, saya rasa pelik. Tapi saya tak ada masalah berlakon babak tersebut kerana kami memang rapat,” ujar Shafnida lagi yang turut mendapat keizinan dari kakaknya.

“Kakak tak cakap apa-apa mengenai adegan tersebut kerana mungkin dia faham tugas sebagai seorang pelakon. Selain memahami, saya rasa berterima kasih kepada kakak kerana dia juga banyak membantu dan memberi petua buat saya. Dia pesan bila berlakon kena fokus, jangan kaku sangat serta jangan banyak borak-borak dan main di set.”

Selain Shafnida, filem ‘Fobia Malam Pertama’ turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Julia Perez, Razali Hossain dan Zarina Zainoordin. Filem terbitan Nusantara Seni Karya ini sudahberada di pawagam sejak 13 Mac lalu.
Previous Post Next Post