Hisyam bercadang untuk berpindah ke Malaysia pada tahun hadapan.
Pelakon dari Singapura, Hisyam Hamid bercadang untuk membawa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
Hisyam, 29, berkata, sebagai persediaan dia dan isterinya, Rosmawati Hanafi sedang mencari kawasan perumahan dan sekolah untuk dua anaknya iaitu Nurish Syameliah, 7, dan Hayden berusia lima tahun.
"Jika diikutkan saya ingin isteri dan anak-anak tinggal bersama saya tetapi keadaan yang tidak menentu buat masa ini membuatkan saya tidak berani untuk membawa mereka datang ke Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun saya kini sedang mencari rumah yang sesuai selain sekolah antarabangsa untuk kedua-dua anak saya nanti. Jika semuanya selesai baharulah saya akan bawa mereka datang ke sini," katanya kepada mStar Online.
Tambah Hisyam, buat masa ini dia menumpang di rumah bapanya di Shah Alam sekiranya mempunyai penggambaran di negara ini.
Dalam perkembangan sama, Hisyam berkata, keputusan berpindah itu dibuat selepas melihat keadaan kerjayanya yang semakin stabil di negara ini terutama selepas membintangi drama bersiri Ariana Rose yang melonjakkan namanya dikalangan peminat.
Hisyam mahu meluangkan lebih masa bersama isteri dan anak-anaknya.
Kata Hisyam, jadual yang padat membuatkan dia tidak mempunyai masa terluang untuk bersama keluarganya yang kini menetap di Singapura dan tidak mahu berjauhan dengan anak-anaknya.
"Pada sudut positif ia adalah perkembangan baik kepada kerjaya lakonan saya tetapi masa untuk bersama keluarga akan bertambah kurang.
"Sebelum ini saya pernah memberitahu masih belum bersedia untuk berpindah ke Malaysia tetapi rasanya saya perlu berbuat demikian supaya lebih banyak masa dapat diluangkan bersama mereka," katanya.
Jelas Hisyam, walaupun penat dengan penggambaran namun sekiranya mempunyai cuti dia akan sedaya upaya untuk kembali ke Singapura bagi bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu, isteri kepada Hisyam, Rosmawati Hanafi, 33, berkata, dia sentiasa berfikiran positif apabila berjauhan dengan suaminya itu biarpun ada pihak yang cuba meracuni fikirannya dengan cerita negatif.
Jelas Rosmawati, dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa cemburu suaminya kini mempunyai ramai peminat terutama dikalangan wanita kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu.
"Saya sering pesan kepada diri sendiri supaya bersikap positif dan cuba untuk tidak mendengar cakap-cakap orang yang kita tidak tahu niat sebenar mereka.
"Komunikasi di antara kedua-dua belah pihak amat penting dan setakat ini Alhamdulillah kami sering berbincang tentang pelbagai perkara meskipun tidak dapat bertemu setiap hari," jelasnya.