Kes Sharnaaz dan Lisdawati Sudah-sudahlah!



"SAYA akan panggil mereka semua!," itulah jawapan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berhubung kemelut yang semakin serius di antara pelakon Sharnaaz Ahmad, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Menurut Freddie, pada mulanya, dia beranggapan perkara ini akan menemui jalan penyelesaian kerana ianya hanyalah melibatkan salah faham.

"Mulanya, saya hanya menjadi pemerhati kerana perkara ini tidak perlu dipanjangkan sehingga membabitkan mahkamah.

"Setelah puas melihat perang saraf di antara mereka seperti yang dilaporkan media, saya terpanggil untuk mengajak mereka bersemuka dan berbincang mengenainya.

"Pada saya, ia hanyalah salah faham sahaja dan tidak perlu saman menyaman. Mungkin sedikit masa lagi saya akan panggil mereka bertiga," katanya yang mengharapkan perjumpaan itu dapat memulihkan keadaan.




Menurut Freddie, tiada gunanya untuk saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

"Saya akan menyediakan 'platform' sebagai orang tengah untuk mereka berbincang agar perkara ini diselesaikan di luar mahkamah.

"Sekiranya cara ini tidak berkesan untuk membantu mereka, saya akan akur dengan pilihan mereka kerana ia adalah hak individu.

"Namun, saya berharap ianya dapat berakhir dan berdamailah. Industri kita bukanlah besar mana, alih-alih jumpa juga," katanya yang bakal berbincang dengan Ketua Biro Pelakon, Ezany Nizarif berhubung pertemuan itu.

Bertanya mengenai keahlian, Freddie memberitahu bahawa dia akan menyemak keahlian ketiga-tiga pelakon itu.

"Walaupun mereka tidak berdaftar dengan Karyawan, namun kami akan membantu sedaya upaya kerana ia melibatkan industri. Ia turut menjadi tanggungjawab Karyawan," katanya yang sebelum ini pernah menyelesaikan beberapa masalah artis.


Artis kontroversi?

Lisdawati, kes saman, gaduh

Menyelak kontroversi saman menyaman Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 36, pernah memfailkan saman fitnah terhadap pelakon, Nadia Mustafar pada 1 April 2010.

Saman itu difailkan kerana Lisda mendakwa Nadia memberi wawancara berunsur fitnah terhadapnya dalam artikel sebuah majalah mingguan bertarikh 8-14 Januari 2005.

Dalam tuntutannya itu, isteri kepada pelakon, Fauzi Nawawi ini memohon ganti rugi RM250,000 serta faedah lapan peratus dan kos-kos lain ekoran penyiaran wawancara itu yang didakwa menyebabkan imej dan periuk nasinya terjejas.

Setelah lebih lima tahun berlanjutan, akhirnya kes itu berakhir dengan mahkamah mengarahkan Nadia membayar RM250,000 kepada Lisda.

Selain itu, Lisda juga turut terpalit dalam kes pergaduhan bersama aktres, Rita Rudaini ketika menjalani penggambaran drama pada tahun 2006.

Ada yang mendakwa, hubungan antara kedua-dua pelakon ini sememangnya dingin sehingga ianya divisualkan dalam adegan tarik rambut dalam kolam renang di sebuah hotel terkenal di George Town.

Namun, sehingga kini, tiada siapa yang tahu punca pergaduhan berkenaan walaupun Lisda turut membuat laporan polis ekoran kes itu.



Fauzi Nawawi, ugut pengurus produksi?

Dua tahun lalu, pengurus produksi wanita dan rakannya membuat laporan polis mendakwa pelakon popular yang juga pengarah, Fauzi Nawawi mengugut untuk mencederakan selain merampas kereta miliknya dalam kejadian di pejabatnya di Ampang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mendakwa Fauzi dan beberapa rakan menaiki empat kereta pergi mencarinya di rumah.

Mangsa berkata, dalam kejadian itu, Fauzi bertindak luar kawalan dengan memberi ugutan terhadapnya kerana masih belum menjelaskan baki bayaran penggambaran sebanyak RM14,000.

Pun begitu, Fauzi menafikan perkara berkenaan dan Lisda memberitahu bahawa dia menjadi saksi kerana turut berada di sana ketika insiden itu terjadi.

Katanya, ia bukanlah seperti yang didakwa kerana sebelum ini dia pernah mengajak pengurus itu berbincang mengenai bayaran, namun tidak diendahkan.


Sharnaz Ahmad, panas baran

Pelakon terkenal, Sharnaaz Basir Ahmad sememangnya terkenal dengan sikap panas barannya dan turut terlibat dalam beberapa insiden.

Dua tahun lalu, Sharnaaz didakwa pernah menolak dan mencengkam leher penolong pengarah filem, Darah Panas, Mohd Hafiz Mat Ishak kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pakaian bagi penggambaran.

Tidak cukup dengan itu, dia dikatakan turut meninggalkan lokasi penggambaran kerana tergesa-gesa untuk menemui bekas kekasihnya, Shila Amzah yang ketika itu perlu terbang ke China untuk pertandingan, Asian Wave 2012.

Malah, Sharnaaz juga pernah melepaskan kemarahan kepada Shila Amzah di Twitter ketika penyanyi berkenaan berduet bersama, Taufik Batisah di Anugerah Planet Muzik 2012. Namun, dia kemudiannya menafikan perkara itu dan memberitahu akaunnya telah digodam.

Setelah hubungannya bersama Shila putus di tengah jalan pada tahun lalu, dia turut terpalit dengan perang mulut dan berbalas kenyataan dengan bapa Shila, ND Lala.

Mengakui keburukan sikap baran itu, Sharnaaz turut berjumpa dengan suami penyanyi, Noraniza Idris, untuk merawat dan mengatasi kemarahannya.

Namun, sebelum ini, pelakon drama, Ruby ini juga pernah memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengaitkan dirinya dengan bekas kekasihnya itu ataupun perkara yang menduga kesabarannya.
Previous Post Next Post