Kalau ikutkan, tahun ini masuk tahun kelima Lofa amalkan tabiat minum air kosong. Mesti kita selalu dengar orang cakap minum air sekurang-kurangnya lapan gelas atau dua liter sehari. Ini kerana hamper 70 peratus badan kita terdiri daripada air.
Asalnya memang Lofa tidak suka minum air kosong.
Salah satu sebabnya ialah air kosong tidak mempunyai rasa, jadi memanglah kita akan sentiasa lebih gemarkan air yang berperisa atau manis.
Dulu kalau ke kedai makan, Lofa akan pesan sama ada jus (mengandungi air gula) atau teh ‘O’ ais.
PEMBANTU Peribadi Pengerusi & Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Edd Razhe meraikan ulang tahun Lofa dan Fara Fauzana, Khamis lalu.
Namun sejak 2009, pilihan Lofa kalau ke kedai makan tidak kira gerai tepi jalan atau restoran di hotel lima bintang sekalipun, Lofa hanya memesan air kosong atau mineral.
Disebabkan terlalu biasa memesan air mineral apabila ke kedai makan, Lofa tidak akan terliur atau terasa untuk mencuba air manis yang dipesan orang lain.
Kebetulan semalam, Lofa sekeluarga pergi ke Kayu Nasi Kandar di Petaling Jaya selepas menghantar adik lelaki Lofa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang buat masa ini masih lagi belajar di Adelaide, Australia.
Sebaik mahu memesan makanan, masing-masing sudah menyebut air sirap bandung, teh tarik, barli, laici ribena dan teh ‘O’ ais.
Seperti biasa, hanya Lofa seorang memesan air mineral.
Begitu juga ketika majlis dianjurkan AirAsia di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur Khamis lalu, Lofa lihat ramai rakan-rakan memesan jus dan minuman berkarbonat.
Tapi seperti biasa, Lofa lebih selesa dengan air mineral.
Orang kata bila kita kerap melakukan perkara yang sama berulang kali, sampai tahap ia menjadi kebiasaan dan tidak lagi menjadi berat atau susah untuk dilakukan.
Kita perlu minum air yang mencukupi untuk tubuh kita menjalankan fungsinya dengan sempurna.
Antaranya, air penting untuk melarutkan sisa metabolisma, penting untuk penghadaman, mengawal suhu badan dan kekurangan air akan memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkannya rosak.
Lofa masih ingat ketika mula-mula amalkan minum air kosong, Lofa jadi kerap ke tandas untuk buang air kecil.
Ini kerana badan kita tidak biasa dengan kandungan air yang kita minum pada peringkat awal.
Mesti pernah dengar orang kata kalau tengah diet, kena banyak minum air.
Kenapa? Kalau nak kurangkan berat badan, amalan minum air kosong dalam jumlah yang banyak paling penting.
Sebabnya, air menjadi elemen penting untuk meningkatkan metabolisma badan dan ia mempercepatkan proses pembuangan lemak.
Juga perlu untuk minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi yang mana akan melambatkan proses pembakaran lemak atau kalori.
Sebenarnya proses pembakaran kalori akan menghasilkan toksin dan air memainkan peranan untuk membilas sisa pembakaran agar keluar dari tubuh badan.
Sedikit tip bagi mereka yang suka dan kerap bersenam, keperluan anda untuk minum air juga turut bertambah.
Lazimnya, sejam sebelum mula bersenam, amalkan untuk minum satu hingga dua gelas air kemudian minum lagi setengah gelas 15 minit sebelum sesi bermula.
Sewaktu bersenam, minum setengah gelas setiap 20 minit.
Minum satu hingga tiga gelas air selepas selesai bersenam.
Lofa percaya tentu ada antara kita perasan yang rakan kita berketurunan Cina sebenarnya sangat menitikberatkan amalan minum air kosong.
Kalau masa sekolah dulu, mesti kita tengok pelajar-pelajar Cina akan bawa botol air yang besar berisi air kosong.
Walau ke tempat kerja sekalipun, mereka tetap akan membawa air kosong bersama.
Amalan mereka itu sebenarnya boleh dijadikan contoh terbaik kerana tidak kira masa atau tempat, air kosong tentu ada bersama mereka.
Kalau kita tengok balik, kenapa kulit muka kaum Cina kebanyakannya licin dan bersih.
Ini kerana apabila kita dehidrasi, garisan-garisan halus dan juga kedutan akan menjadi lebih ketara.
Air akan mengurangkan masalah tersebut dan juga membersihkan kotoran serta melancarkan peredaran darah.
Kita perlu minum air bukan saja di tempat yang bercuaca panas tapi juga di kawasan berhawa dingin supaya kulit tidak kering.
Jadi mulai hari ini, tanamkan tabiat untuk sentiasa minum air kosong dan tambah kekerapan menikmatinya kerana kita sendiri akan dapat merasai perbezaan di dalam dan luar diri kita.
Jangan jadikan masalah catuan air yang berlaku sekarang sebagai alasan untuk kurang minum air kerana ia akan memudaratkan kesihatan.
Tambah pula dalam keadaan cuaca yang panas sekarang.
Masih belum terlambat untuk mencuba dan jangan putus asa jika sukar memulakan amalan ini.
Selamat mencuba!