Radhi Bersyukur Bakal Ibu Mertua Terbuka Hati



Vokalis kumpulan OAG, Radhi, bersyukur bakal bernikah dengan kekasihnya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, pada April ini. Kata Radhi, penantiannya selama tiga tahun berakhir apabila ibu Ayu mengizinkan mereka untuk bernikah terlebih dahulu.

“Alhamdulillah setelah tak putus berdoa agar ibu Ayu terbuka pintu hati untuk mengizinkan kami berkahwin, akhirnya dia bersetuju supaya kami dinikahkan terlebih dahulu,” kata Radhi sambil menjelaskan mereka belum merancang untuk mengadakan majlis resepsi.

“Saya ingin mendahulukan yang penting dan menghalalkan hubungan ini. Setakat ini masih belum ada perancangan untuk membuat majlis resepsi. Namun mungkin majlis resepsi akan diadakan pada hujung tahun ini,” kata Radhi ketika dihubungi.

Walaupun pengacara program ‘Switch Off’ di ntv7 ini pernah berkahwin sebelum ini, namun Radhi memberitahu dia tetap akan menghadiri kursus kahwin sekali lagi.




“Saya dan Ayu akan menghadiri kursus kahwin bersama. Kali ini saya ingin menumpukan perhatian pada ilmu rumahtangga yang dikongsi oleh ustaz nanti,” kata Radhi.

Tambah Radhi lagi, setelah bernikah, kerjaya seninya akan diuruskan oleh bakal isterinya itu memandangkan Ayu mempunyai pemikiran yang matang dan terurus.

“Ayu lebih mudah untuk membuat keputusan. Sebab itu saya lebih selesa jika dia yang menguruskan kerjaya seni saya. Lagipun saya masih dalam proses pemulihan, jadi saya perlu dia untuk membantu saya,” jelasnya yang kini sedang sibuk menjalani rakaman untuk album terbaru OAG.
Previous Post Next Post