Tinggal hanya beberapa hari lagi menjelang hari bahagianya, pelakon Puteri Sarah Liyana akui sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bergelar isteri kepada pengarah Shamsul Yusof.
Puteri Sarah berkata dia kini lebih banyak berdoa dan bermohon pada yang Esa agar majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar pada 8 Mac ini.
“Perasaaan saya biasa sahaja, mungkin kerana saya masih bekerja dan debaran itu dapat dilupakan sedikit. Alhamdulilah, persiapan semua sudah pun siap dan sekarang saya hanya berserah kepada Allah agar semuanya berjalan seperti yang dirancangkan.
“Buat masa sekarang ini, saya banyak berdoa dan bersolat hajat agar perkahwinan kami ini akan dipermudahkan,” katanya kepada ARTISMELETOP ketika dihubungi.
Pasangan ini akan diijabkabulkan di Masjid Sri Damansara pada Sabtu ini jam 10 pagi. Manakala majlis meraikan mempelai akan diadakan di Restoran N’dah Shah Alam pada waktu malam hari yang sama.
Puteri Sarah yang masih merahsiakan wang hantarannya memberitahu Syamsul akan menyerahkan mas kahwin tersebut mengikut nilai negeri Kedah kerana ibunya berasal dari negeri itu.
“Syamsul akan menyerahkan 7 dulang hantaran dan pihak saya akan membalas 9 dulang hantaran. Wang hantaran tak perlulah saya nyatakan di sini tetapi mas kahwin yang diberikan akan mengikut nilai negeri kelahiran ibu saya iaitu Kedah,”jelasnya.
Sementara itu, Puteri Sarah memberitahu dia akan terus bekerja seperti biasa walaupun sudah berkahwin kerana Syamsul tidak pernah menghalangnya melakukan apa sahaja asalkan tanggungjawabnya sebagai isteri tidak terabai.
“Sebenarnya, saya sudah berhenti berlakon sejak September tahun lalu, dan sekarang ini saya bekerja di Butik Eiliya dalam bahagian marketing. Namun tawaran mengacara saya masih terima kerana ianya tidak mengganggu waktu kerja saya.
“Syamsul pula tidak pernah menghalang apa yang saya mahu lakukan. Syamsul membenarkan saya bekerja asalkan kerja itu tidak menyebabkan saya mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan tak lupa untuk beribadat,” jelasnya lagi.
Puteri Sarah kini menjadi duta kepada produk kesihatan dan kecantikan syarikat CAJM Group bersama Shamsul Ghau Ghau.