Mengakui tidak mudah untuk kekal sebagai sebuah kumpulan, Ungu mengakui mereka berbangga dapat terus bertahan di dalam industri seni selama 17 tahun. Bahkan, kumpulan yang dianggotai oleh lima orang jejaka ini mendedahkan mereka tidak mempunyai sebarang formula rahsia untuk kekal sehingga kini.
“Kami tidak mempunyai sebarang formula rahsia untuk terus kekal sebagai sebuah kumpulan tetapi mungkin kerana kami mempunyai satu tujuan yang sama iaitu semangat dalam bidang muzik. Kami juga menganggap ini sebagai komitmen yang perlu diberikan fokus sepenuhnya,” ujar Enda selaku pemain gitar kumpulan tersebut ketika ditemui disidang media 'Konsert UNGU Live di Malaysia' di Hotel Vivatel pada Khamis.
Biarpun begitu, Ungu tidak berselindung bahawa mereka juga pernah terfikir untuk berpecah sekitar tahun 2003. Ini kerana pada saat itu mereka terpaksa berdepan pelbagai kesulitan dan cabaran dek kerana bertukar pihak pengurusan.
“Pada ketika itu kami telah berbincang sekiranya album 'Demi Waktu' tidak mendapat sambutan, maka kami terfikir untuk berpecah. Ini kerana bukan mudah untuk berkarya apabila input dan output tidak selaras,” ujar Enda.
Sementara itu, kedatangan Ungu pada kali ini adalah bagi mempromosikan album terbaru mereka yang bakal dilancarkan pada bulan Jun ini. Ia juga boleh dikatakan konsert pemanas sebelum mengadakan konsert jelajah sebaik sahaja album tersebut dilancarkan.
“Kami merancang untuk mengadakan jelajah di Hong Kong, Australia, Japan dan banyak lagi bagi mempromosikan album baru itu nanti. Sebanyak 12 buah lagu bakal dimuatkan dalam album tersebut dan kesemuanya merupakan lagu-lagu baru yang dihasilkan khas buat peminat-peminat,” ujar Pasha selaku vokalis kumpulan tersebut.
Kumpulan yang dianggotai oleh Pasha (Vokalis), Makki (Bass), Enda (Gitar) dan Rowman (Drum) bakal menggegarkan tanahair dengan Konsert UNGU Live di Malaysia pada hari ini (28 Februari), jam 8.00 malam di Kenanga Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur.