KUALA LUMPUR, 24 MAC 2014: Demi menambah pendapatan keluarganya yang kini sudah bertambah dengan kehadiran seorang cahaya mata bernama Nadi Anaqi, pelakon Zahiril Adzim akui tahun ini dia telah bekerja keras dengan memenuhi jadual penggambaran yang agak ketat.
Namun, Zahiril Adzim akui agak sedih dan terkilan apabila kesibukannya mencari rezeki untuk keselesaan keluarga itu telah menyebabkan anaknya tidak mengenalinya dan takut mendekatinya sehingga menangis.
"Alhamdulillah, saya seronok dengan kehidupan sebagai bapa sekarang. Sekarang ni apa saja yang saya buat, saya fikirkan dulu untuk anak saya. Kalau dulu saya lebih rileks tapi sekarang saya harus bekerja lebih keras. Selagi ada tawaran berlakon yang saya rasa bersesuaian, saya akan terima.
"Tapi walauapun sibuk dengan penggambaran, saya akan curi masa untuk anak saya. Pernah sekali tu saya sibuk di lokasi. Lebih kurang sebulan saya tak berkesempatan melayan dan bermain dengan dia. Sebab bila saya balik dari kerja dia dah tidur dan bila saya keluar ke lokasi dia masih tidur.
"Jadi bila tamat penggambaran, saya gunakanlah peluang bersama dia. Tapi malangnya semasa saya dukung dia, dia menangis, dia seakan sudah tak kenal lagi saya. Masa tu saya sentap (terasa hati) sangat. Memang saya sedih.
“Yelah, saya tahu dia masih kecil tetapi kalaulah dia tahu saya sibuk selama ini hanya untuk memberi keselesaan untuk dia,” katanya kepada ARTISMELETOP
Zahiril ditemui ketika majlis bacaan skrip filem Pekak di Media Prima baru-baru ini. Majlis itu trut dihadiri oleh pelakon-pelakon lain seperti Sharifah Sakinah, Sharifah Amani dan ramai lagi.
Namun, Zahiril berkata isterinya Sheira Ayob telah menenangkannya dan memberi kata-kata semangat supaya dia tidak terasa hati kepada anaknya yang ketika itu baru sahaja berusia 5 bulan.
“Isteri saya perasan perubahan air muka saya dan dia cuba tenangkan saya. Ketika tu anak saya baru berusia 5 bulan.
“Tapi sekarang, kalau dia nampak saya dari jauh lagi dia dah melompat-lompat mahu saya mengangkatnya,” kongsinya.
Semenatara itu, mengenai mengenai filem yang bakal dibintangi iaitu berjudul 'Pekak'. Zahiril memberitahu wataknya sebagai seorang orang yang cacat pendengaran amat mencabar dan pertama kali digalas.
"Watak saya sebagai seorang lelaki pekak tapi dia tak bercakap. Dia pilih untuk berdiam. Jadi, dari awal sampai habis saya tak ada dialog. Dia berkomunikasi dengan menulis di telefon. Dia seorang OKU (orang kurang upaya) tetapi atas desakan hidup dan demi nak membiayai kos pembedahan telinganya, dia terpaksa menjual dadah. Dia pilih jalan tu sebab dia rasa itu saja cara yang cepat untuk dia dapatkan duit,” jelasnya.
Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu diarahkan oleh Khairul Azri Md Noor dan bakal menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.