Adi Putra
BUKAN mudah mengharungi dunia seni, begitulah yang berlaku kepada pelakon popular, Adi Putra selepas berdepan dakwaan skandal dengan isteri orang tahun lalu.
Bagaikan tiada noktahnya, pelakon Sehangat Asmara ini kembali menjadi perhatian apabila sekeping foto separuh bogel yang didakwa miliknya tersebar di Internet.
Foto tersebut didakwa telah dimuat naik ke laman Instagram oleh bekas suami kepada wanita yang didakwa mempunyai skandal dengan Adi Putra sebelum ini.
Enggan memperbesarkan isu tersebut, kata Adi, dia akan terus bersabar dan menjadikan pengalaman lalu sebagai satu hikmah dan pengajaran besar buat dirinya.
“Kali ini saya akan bersabar selagi dakwaan tersebut tidak ditujukan kepada isteri dan keluarga. Lagipun saya tak tahu dan tak nak ambil tahu apa yang berlaku. Malah saya tidak akan ambil tindakan selagi ia tidak melampaui batas. Harapan saya, janganlah sampai melampau!
“Sekarang saya belajar untuk bersabar kerana saya sendiri tak mampu nak marah mereka. Sedangkan Rasul pun pernah diduga dengan pelbagai musibah tapi masih boleh bersabar, kita sebagai umat juga perlu buat begitu.
“Biarlah orang nak kata kat saya, ia tidak beri kesan apa-apa kepada saya isu itu tidak menghalang saya untuk meneruskan karier seni," kata Adi yang bakal beraksi dalam teater Di Bawah lindungan Kaabah ini, di Istana Budaya pada 9 hingga 18 Mei depan.
Bakal kuasai bahasa Arab
Dalam pada itu, Adi turut berkongsi mengenai perkembangan syarikat pelancongannya, Hadid Travel & Tours dan melahirkan rasa syukur kerana perniagaannya berjalan lancar walaupun syarikatnya baharu sahaja ditubuhkan.
Menurut Adi selain sibuk menguruskan perniagaan baharu iaitu pakej umrah dia turut jalankan perkhidmatan penghantaran barang dari Malaysia ke United Kingdom juga ke China di bawah pengurusan syarikat Malaysia2u.com.
Adi yang kelihatan semakin kurus juga mengakui penurunan berat badannya juga disebabkan kesibukannya menguruskan bidang perniagaan yang baharu diceburinya.
“Alhamdulillah, memang saya semakin sibuk sekarang ini itu yang kurus tu. Tambahan pula saya menguruskan semuanya dari peringkat awal hingga akhir.
“Malah, sekarang ini juga saya sedang berbincang dengan kerajaan Arab Saudi mengenai pakej yang bakal saya tawarkan nanti,” katanya.
Menurut Adi, walaupun di Malaysia orang kenal dirinya sebagai artis, namun di Arab Saudi dia dianggap seperti orang biasa yang terlibat dalam perniagaan.
“Walaupun saya artis tapi saya tidak pernah menggunakan cara itu untuk melakukan bisnes. Saya mula sebagai seorang rakyat biasa yang baharu memulakan
perniagaan, tanpa ada sebarang bantuan daripada sesiapa,” katanya yang baharu sahaja menguruskan pakej umrah membawa jemaah pertama pada 13 Mac lalu.
Dalam pada itu, Adi turut berkongsi pengalamannya yang agak sukar berurusan dengan orang Arab. Namun, dia akan berusaha menanganinya.
“Sekarang, saya dalam perancangan untuk mengambil kursus komunikasi bahasa Arab. Yelah, susah nak berbincang dengan orang Arab. Ibarat bercakap ayam dan itik.
“Walaupun saya gunakan bahasa Inggeris namun, ia masih lagi menyukarkan saya untuk memahami mereka. Saya sendiri perlu kuasai bahasa Arab agar komunikasi itu seiring dengan mereka,” katanya yang juga bakal melancarkan produk sendiri, berasaskan kolagen, tidak lama lagi.