Beyonce Disaman Peminat



Penyanyi terkenal, Beyonce, disaman dua orang peminatnya kerana mendakwa mereka dipijak dalam sebuah konsertnya di Chicago, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Laman web, tmz.com mendedahkan, Raquel Castellanos dan Gabriella Davidson berkata, mereka menunggu seawal mungkin untuk memasuki stadium sukan United Center untuk mendapatkan tempat yang paling hampir dengan pentas.




Kejadian itu berlaku apabila pintu stadium mula terbuka dan orang ramai bersesak-sesak memasuki kawasan berkenaan sehingga menyebabkan Castellanos dan Gabriella terjatuh dan dipijak.

Mereka pengsan dan mengalami patah tulang sebelum dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat menghadiri konsert itu.

Kedua-dua wanita itu mendakwa, penganjur tidak melaksanakan prosedur yang sepatutnya bagi memudahkan para peminat memasuki stadium berkenaan.

Bagaimanapun, menurut laman web cbslocal.com, pihak pengurusan konsert mahupun Beyonce tidak mengeluarkan kenyataan terhadap dakwaan itu.
Previous Post Next Post