XPDC terus perjuangkan Rock Kapak


KUMPULAN yang pernah popular dengan lagu Titian Perjalanan ini bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Khilaf.

HAKIKAT yang harus diakui, kumpulan XPDC yang popular suatu ketika dahulu, kini dipandang suram dan seakan-akan mati ditelan arus pemodenan muzik kontemporari.

Namun siapa sangka, di sebalik imej dan genre muzik ‘rock kapak’ yang diperjuangkan kumpulan ini, ia masih mempunyai aura dan pengikut setia sehingga kini.

Pernah menggegarkan peminat muzik rock tempatan suatu ketika dahulu dengan alunan muzik ‘rock kapak’ mereka, tidak keterlaluan dikatakan XPDC pernah mencetus fenomena sekitar era 1990-an dahulu.

Senapang Patah, Hentian Ini, Titian Perjalanan dan Aku Masih Di Sini sememangnya merupakan antara lagu XPDC yang lazim didengar dan kebanyakan anak muda masa kini membesar dengan lagu-lagu tersebut.




Bagi vokalis asal kumpulan ini, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael, semangat juang sebagai anak seni akan tetap diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Akui Mael, kebanyakan muzik ‘rock kapak’ agak kurang mendapat sambutan dalam kalangan anak muda masa kini.

Namun baginya, selagi peminat masih lagi menghargai karya XPDC, selagi itulah dia akan terus menyanyi.

“Saya akui perubahan masa sekali gus telah merubah landskap dalam industri hiburan tanah air. Namun, kami tidak akan mengubah cara penyampaian dan genre yang kami bawa lebih sedekad ini.

“Bagi kami, genre muzik XPDC sebelum ini sudah menjadi trademark dan kami tidak bercadang untuk membuat pembaharuan.

“Ini kerana XPDC mempunyai pengikut tersendiri,” ujarnya pada sidang akhbar bersempena Konsert XPDC Live In Concert di Hotel ZON, Kuala Lumpur baru baru ini.

Mengulas mengenai sebab XPDC kurang membuat kemunculan sejak akhir-akhir ini, Mael ada jawapannya.

“Komitmen yang tinggi terhadap hal peribadi termasuk keluarga dan perniagaan merupakan antara sebab XPDC jarang dilihat aktif seperti dahulu.”

“Dengan tahap umur yang sudah mencecah 40-an, bermacam-macam komitmen terpaksa diberikan, terutamanya melibatkan hal peribadi, namun kami masih lagi menerima jemputan nyanyian di Johor,” ujarnya.

Konsert

Dalam pada itu, selepas penampilan terakhir pada Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara pada tahun 1998, XPDC bakal kembali ke pentas konsert pada 26 April ini.

Konsert yang dinamakan sebagai XPDC Live In Concert ini bakal diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

Dibarisi empat anggota iaitu Izo, Zua dan Eddie selain Mael, XPDC menjanjikan kelainan pada konsert kali ini terutama single terbaharu mereka yang berjudul Khilaf buat julung-julung kalinya akan didendangkan.

“Lagu tersebut merupakan material baharu kami dan masih menerapkan susunan muzik lama yang menjadi trademark kami.

“Pada konsert tersebut, kami juga telah menyenaraikan 20 lagu hit sepanjang zaman. Ia merupakan permintaan khas peminat-peminat tegar XPDC selama ini,” katanya.

Konsert yang bakal mengubat kerinduan peminat XPDC itu akan dimeriahkan lagi dengan acara sukan permotoran dengan kerjasama Saturday Night Fever Racing (SNF Racing).

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran SNF Racing, Asyraf Azmi berkata, selaku penganjur, ia merupakan sebuah konsert yang akan mendapat sambutan luar biasa.

Ini memandangkan acara tersebut menggabungkan peminat rock dan permotoran tanah air.

“Kami menjangkakan kira-kira 10,000 hingga 15, 000 pengunjung bakal hadir, memandangkan ia merupakan acara gabungan yang jarang-jarang sekali diadakan di Malaysia,” ujarnya.

Tiket untuk konsert tersebut telah mula dijual di semua cawangan Rock Corner dan melalui dalam talian di laman sesawang www.myticket.com.my dengan harga serendah RM48 sehingga RM86.
Previous Post Next Post