Kilafairy tak gentar dikritik


KILAFAIRY mahu membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon dengan menerima cabaran berlakon dalam teater Projek Kahwin.

PELAKON dan penyanyi Kilafairy mengakui tidak gentar dengan tempias kontroversi pelakon Hanez Suraya apabila dia bersetuju mengambil alih enam pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 Jun depan.

Bakinya, Hanez pula akan melakukan empat pementasan pada tarikh 11 hingga 14 Jun nanti.

Malah, anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu juga sudah bersedia jika dibandingkan dengan Hanez dalam pementasan tersebut.

Teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan bermula 6 hingga 14 Jun itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Shah Iskandar, Kaka Azraff, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Ikuti temu bual bersama Kilafairy ketika ditemui pada majlis sidang akhbar memperkenalkan barisan pelakon baharu teater Projek Kahwin di Istana Budaya, Kuala Lumpur.




ARTISMLETOP!: Apakah perasaan Kilafairy apabila ditawarkan berlakon dalam teater Projek Kahwin?

KILAFAIRY: Saya agak terkejut apabila ditawarkan berlakon dalam teater ini menggantikan tempat Hanez. Begitupun, saya anggap ia rezeki dan bersyukur dengan tawaran ini. Apa yang mengujakan saya apabila pementasan ini dilakukan di pentas besar iaitu Istana Budaya. Ibu saya juga mengatakan, bukan senang seseorang pelakon itu beraksi di pentas Istana Budaya. Saya anggap ini projek paling besar dan serius untuk saya pada tahun ini.

Adakah anda berasa terbeban apabila diminta mengantikan tempat Hanez?

Saya tidak melihat ia sebagai satu beban, sebaliknya cabaran. Memang sudah lama saya impikan untuk berlakon dalam teater besar seperti ini.

Tidakkah anda takut kontroversi yang melanda Hanez akan terkena pada anda apabila mengambil keputusan untuk berlakon dalam teater ini?

Insya-Allah tidak. Kami adalah dua orang yang berbeza. Cerita dia tiada kena mengena dengan saya.

Bagaimana pula anda melihat pada barisan pelakon yang membintangi Projek Kahwin ini?

Agak berisiko juga apabila barisan pelakon merupakan muka-muka baharu dalam pementasan teater. Sama juga dengan saya yang pertama kali beraksi dalam pementasan teater. Namun, bagi saya kalau tidak cuba kita tidak tahu peluang sebegini akan tiba lagi atau tidak. Ia juga merupakan peluang bagi saya untuk belajar vokal, tarian dan lakonan melalui latihan yang ditawarkan.

Adakah sebarang rasa gusar di hati untuk melakukan pementasan ini?

Sebelum saya setuju untuk terlibat dengan teater ini, saya sudah tahu risiko orang akan membandingkan saya dengan Hanez. Perkara itu pasti. Tambahan pula, ada dua pementasan (pementasan Kilafairy dan juga Hanez).

Bagaimanapun, saya sudah bersedia jika ada yang cuba membandingkan saya dengan Hanez. Saya tiada masalah kalau orang cakap lakonan Hanez lebih bagus daripada saya. Ini kerana dari situ saya boleh mengasah lagi bakat saya.

Bagaimana kalau ada yang mempertikaikan pemilihan anda untuk berlakon dalam teater besar ini memandang anda tidak mempunyai sebarang pengalaman?

Saya akui mesti ramai yang mempertikaikan saya berlakon pementasan ini. Sebab saya hanya berlakon beberapa drama dan filem tetapi kalau tidak cuba kita tidak tahu. Ini adalah peluang pertama saya. Orang boleh nilai selepas menontonnya. Saya juga ada satu pendirian untuk tidak mudah serik.

kalau orang tidak suka dengan lakonan saya nanti, saya akan cuba lagi beraksi lebih baik untuk pementasan seterusnya.

Apakah yang boleh anda berikan kepada peminat melalui pementasan teater itu nanti?

Saya akan membuat persembahan terbaik. Orang selalunya tertanya-tanya saya ini sebenarnya berlakon ke menyanyi? Tiada yang kukuh antara kedua-duanya. Saya akui masih seperti bayi (baharu) dalam industri. Saya baru tiga tahun dan masih banyak lagi ruang untuk membuktikan keupayaan saya dalam industri. Banyak lagi benda yang saya kena belajar.

Apa yang saya buat sekarang ini saya akan usaha sampai orang nampak kehadiran saya dalam industri ini. Kalau saya mahu popular saya ambil sahaja semua tawaran yang datang seperti watak antagonis atau gedik.

Namun, saya mahu berada lama dalam industri. Saya tidak kisah menyepi seketika dan berharap dengan strategi ini saya lama dalam industri lakonan. Mungkin sehingga tua orang masih memanggil saya berlakon. Saya tidak mahu memegang watak gedik sampai bila-bila.

Jadi, masih banyakkah watak gedik yang ditawarkan kepada anda? Sebenarnya, apakah watak yang anda idamkan?

Ya, masih banyak. Mungkin watak lain daripada filem Karak atau Hoore! Hoore!. Seperti watak wanita lembut atau watak wanita yang berdikari. Tiada kena mengena dengan watak menggoda lelaki. Saya juga tidak salahkan pihak penerbit yang melabel seseorang artis itu sesuai dengan watak menggoda atau gedik tetapi saya kena buat sesuatu. Saya kena berusaha untuk mengubah persepsi tersebut.

Selain daripada teater Projek Kahwin, apakah lagi projek terbaharu selepas ini?

Saya sedang menyiapkan single kedua yang belum mempunyai judul. Ia sebuah lagu Melayu dengan alunan melodi Bollywood. Saya dengan Aidil AF yang terbitkan lagu tersebut. Saya juga buat lirik untuk lagu itu. Saya juga baru membuka studio fotografi untuk butik Rack yang saya usahakan.
Previous Post Next Post