David Teo Lagu Kacang tidak sindir sesiapa



KREDIBILITI David Teo sebagai seorang penerbit sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Sejak menerajui Metrowealth pada tahun 2000, syarikatnya itu sudah menerbitkan lebih 100 buah filem.

Malah, kebanyakan pelakon popular yang ada sekarang ini seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lisa Surihani, Yana Samsuddin dan Nora Danish antara yang kerap tampil dalam filem terbitan syarikatnya.

Namun begitu, di sebalik kesibukannya selaku seorang penerbit dan peneraju kepada Metrowealth, David memberitahu, dia juga bakal lahir dengan sebuah single baharu berjudul Kacang yang dinyanyikan secara duet bersama Fida Ibrahim.

ARTISMELETOP! sempat menembual David yang ditemui semasa majlis pelancaran Dunia Sinema yang berlangsung di Menara TM, Kuala Lumpur baru-baru ini.




ARTISMELETOP!: Apakah yang membuatkan David tiba-tiba mahu menyanyi dan merakamkan single berjudul Kacang?

DAVID: Sebelum ini saya sudah beberapa kali membuat penampilan khas dalam filem terbitan syarikat saya. Jadi, saya berasa sudah tiba masanya untuk mencuba bidang nyanyian pula.

Ketika ini, rakaman single terbaharu saya berjudul Kacang baru sahaja selesai dilakukan dan ia dinyanyikan secara duet dengan Fida Ibrahim, manakala lagu berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Cat Farish.

Kenapakah memilih Fida sebagai rakan duet untuk lagu Kacang?

Sebenarnya saya mula tertarik untuk memilih Fida kerana melihat gandingannya bersama Datuk AC Mizal menerusi lagu Apo Kono Eh Jang yang begitu mendapat sambutan baik peminat.

Memandangkan Kacang merupakan sebuah lagu berentak rap, saya melihat Fida merupakan pilihan terbaik untuk berduet dengan saya.

Menurut David, Kacang dicipta sepenuhnya oleh Cat. Jadi, kenapa anda menggunakan khidmatnya bagi menghasilkan lagu berkenaan?

Saya memilih Cat kerana dia merupakan antara penyanyi rap yang berjaya di Malaysia dan kebanyakan lagu ciptaannya mendapat tempat di hati peminat.

Setelah tertarik dengan kebolehan yang dimilikinya itu, saya lantas mengambil keputusan untuk menggunakan khidmatnya sebagai komposer. Lagipun saya memang serius merakamkan single ini dan sudah tentu saya mahu hasil yang terbaik. Kalau boleh, saya mahu lagu ini tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

David memberitahu, antara lirik yang terkandung dalam lagu Kacang ialah 'kacang jangan lupakan kulit'. Adakah anda ingin menyindir mana-mana pihak menerusi lagu berkenaan?

Saya tidak menyindir sesiapa pun kerana lirik tersebut disampaikan secara umum tanpa menuju kepada mana-mana pihak. Mesejnya mudah iaitu kalau sudah berjaya, jangan cepat lupa diri atau melupakan jasa individu yang sudah banyak membantu.

Baru-baru ini salah seorang pelakon di bawah naungan Metrowealth iaitu Nina Iskandar mengumumkan dia sudah bertunang. Sedangkan sebelum ini timbul cerita yang mendakwa, artis Metrowealth dilarang bercinta selagi terikat dengan syarikat. Boleh David jelaskan mengenai perkara tersebut?

Selama ini Metrowealth tidak pernah menghalang mana-mana artis di bawah naungannya untuk bercinta. Asalkan artis tersebut berterus-terang kepada saya dan memberitahu perkara sebenar sekiranya sudah bertemu dengan lelaki atau wanita pilihan masing-masing.

Dalam kes Nina ini, ibu bapanya sendiri yang memaklumkan kepada saya tentang anak mereka yang ingin mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya dan saya langsung tiada masalah kalau diberitahu perkara sebenar.
Previous Post Next Post