Sinar baharu Radhi OAG


RADHI dan isteri bakal mengadakan majlis resepsi secara serentak untuk kedua-dua belah pihak pada hari perayaan Aidifitri yang dijadualkan jatuh pada 28 Julai ini.

KELIBAT vokalis utama kumpulan OAG, Radhi kelihatan menyerlah dalam kalangan tetamu yang berada di Bilik Nikah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Perasaan gemuruh terpancar pada wajahnya. Namun wajahnya kelihatan tenang, sentiasa tersenyum melayan kerenah saudara-mara yang hadir memeriahkan pada majlis penuh bermakna buat dirinya itu.

Majlis akad nikah serba sederhana yang dihadiri saudara-mara terdekat menggamatkan lagi suasana majlis tersebut.

Pasangan mempelai yang mengenakan busana putih tampak berseri dek aura raja sehari.




Tepat pukul 10.30 pagi, dengan sekali lafaz, Radhi, 26, sah bergelar suami kepada model sambilan, Nur Shahirah Ayu Zahiri, 20.

Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar masjid tersebut, Mohd. Firdaus Subhi itu diwalikan bapa kandung kepada pengantin perempuan, Zahiri Kitan.

Sebelum majlis tersebut berlangsung, Radhi dan Nur Shahirah melangsungkan acara merisik dan pertunangan.

Pada masa yang sama, rombongan lelaki turut membawa 12 dulang barangan hantaran, dibalas 15 dulang daripada pihak perempuan.

Pada majlis tersebut, Nur Shahirah menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta wang hantaran sebanyak RM30, 000.

Antara barangan hantaran mempelai lelaki termasuk sejadah, barangan solekan, senaskhah al-Quran dan set barang kemas manakala pengantin perempuan membalasnya dengan sirih junjung, buah-buahan, jubah dan tali pinggang.

Harapan baharu

Mengimbas kembali perkenalannya dengan Nur Syahirah, ujar Radhi, kehadiran gadis tersebut membawa sinar baharu dalam kehidupannya.

“Sepanjang perkenalan kami, dia (Nur Syahirah) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk membimbing saya ke jalan yang benar.

“Dia merupakan semangat saya untuk terus berjuang melawan najis dadah suatu ketika dahulu.

“Saya amat bersyukur kerana kehadirannya banyak membawa perubahan dalam hidup saya.

“Walaupun saya kini masih lagi menjalani pemulihan di rumah Pengasih (Persatuan Pengasih Malaysia), dia tetap berada bersama saya,” ujar Radhi ketika ditemui, usai majlis tersebut berlangsung, semalam.

Tambah Radhi, Nur Shahirah juga merupakan seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

Walaupun jarak usia mereka mencecah 15 tahun, namun, keserasian yang ada antara mereka menguatkan lagi hubungan cinta yang sudah terjalin sejak empat tahun dahulu.

“Saya mengakui dia masih muda, namun sifat dan perangainya lebih matang daripada saya. Dia selalu menasihati saya dalam pelbagai hal termasuk melibatkan hal kerja saya.

Sementara itu, Nur Shahirah tersenyum ketika ditebak soalan tentang sebab dia memilih Radhi sebagai suaminya.

“Radhi merupakan seorang yang bertanggungjawab dan penyayang.

“Dia tidak pernah lupa kepada tangungjawabnya untuk menjaga saya dan juga anaknya sebelum ini.

“Walaupun mempunyai perwatakan gila-gila, saya rasa itulah yang menjadi kekuatan dalam hubungan kami,” tuturnya yang kini aktif menggiatkan diri dalam perniagaan produk kecantikannya sendiri, Marini Signature.


RADHI dan Nur Shahirah bergambar kenangan bersama Mohammad Refdi Muslim.

Tambah Nur Shahirah, walaupun Radhi suatu ketika dahulu mempunyai kisah hitam yang tidak mungkin terpadam, dia reda dengan ketentuan Allah.

Baginya, Radhi banyak berubah daripada dahulu sehingga sekarang.

“Saya kagum dengan perubahan dirinya. Jika tidak ada daya usaha yang tinggi untuk berubah, nasihatlah macam mana pun dan perkara sama akan berulang.

“Namun, Radhi kali ini saya nampak dia nekad untuk berubah. Saya sebagai isteri akan sentiasa di sisinya,” ujar Nur Shahirah.

Ketika ditebak soalan mengenai hala tuju perkahwinan mereka, ujar Radhi, dia bakal melantik isterinya untuk menjadi pengurusnya.

“Memandangkan dia merupakan salah seorang yang paling rapat dan memahami diri ini, saya rasa dia yang layak untuk menjadi pengurus saya.

“Di samping dapat melicinkan urusan pekerjaan, kami juga dapat meluangkan masa bersama,” katanya yang bercadang untuk bercuti di Johor Bahru sebaik berakhir majlis pernikahannya itu.

Sementara, menyentuh tentang majlis resepsi yang akan diadakan nanti, kata Radhi, dia dan isteri bercadang untuk mengadakan acara tersebut untuk kedua-dua belah pihak secepat mungkin.

“Kalau tidak ada aral melintang, kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi pada Hari Raya Aidilfitri (yang jatuh pada 28 Julai ini) untuk kedua-dua belah pihak.

“Namun, hal tersebut masih lagi dalam perbincangan.

“Majlis tersebut akan diadakan secara sekali gus melibatkan kedua-dua pihak saya dan dia.

“Agak sukar untuk merancang majlis ini memandangkan keluarga saya menetap di Kuching, Sarawak,” tuturnya.

Restu bekas isteri

Radhi pernah melayari bahtera suatu ketika dahulu dengan bekas isterinya, Nur Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005.

Namun ikatan perkahwinan mereka terputus di tengah jalan apabila mereka bercerai pada 8 Jun 2010.

Radhi berkata, dia bersyukur hubungan dengan bekas isterinya, Nur Shazlin kini masih baik dan komitmen mereka bersama untuk membesarkan anak mereka yang berusia lapan tahun, Mohammad Refdi Muslim, tidak pernah diabaikan kedua-dua pihak.

“Dia (Nur Shazlin) mengucapkan tahniah sempena perkahwinan saya ini.

“Bagaimanapun, dia ada menasihatkan saya supaya tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap anak kami itu,” katanya.
Previous Post Next Post