KD, Ratu Cinta & keluarga


KD kini bahagia bersama suaminya, Raul dan dua anak mereka Ariannha Amora dan Kellen Alexander.

PETANG Isnin lalu, berbumbungkan langit kelabu dan beransur-ansur pecah rintik hujan, figura jelita dari Indonesia, Kris Dayanti hadir memasuki ruang Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mungkin ada ironinya dengan renyai hujan yang turun berderai, KD sebak mengenangkan tragedi pesawat MH370 milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang sehingga kini masih belum bertemu jalan pasti.

"14 tahun saya bersama penerbangan MAS dan apabila suami saya memberitahu berita pesawat hilang, saya sangat terkejut. Apatah lagi setelah mendapati ia sebuah pesawat besar yang ada 239 penumpang.




"Saya mengambil kesempatan mewakili teman-teman artis di Indonesia merakamkan ucapan takziah dan perasaan dukacita atas tragedi ini.

"Serentak dengan itu saya merancang untuk membikin sebuah lagu tribute kepada mangsa dan keluarga tragedi pesawat MH370. Besar harapan saya agar Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search dapat bergabung sama nanti," mula butir katanya melayangkan perasaan sayu pada sidang akhbar Minggu Setiausaha PICC di Putrajaya baru-baru ini.

Cemburu

Kali terakhir, kata KD, dia menjejakkan kaki ke Malaysia adalah pada tahun 2009 untuk memenuhi undangan nyanyian.

Sejak itu, dia 'berehat' sehingga kembali dijemput untuk memeriahkan majlis yang akan berlangsung pada 16 dan 17 April depan.

Datuk Rossa antara penghibur dari Indonesia yang mendapat perhatian hingga dikurniakan gelaran 'datuk'. Mungkin KD pernah rasa cemburu akan pencapaian cemerlang golongan artis baharu di Malaysia?

"Cemburu? Pastinya tidak kerana itu rezeki masing-masing. Kalau benar saya cemburu pun kerana mereka punyai suara yang sedap.

"Sememangnya di Indonesia susah untuk karyawan (artis) membuat persembahan contohnya konsert kerana kekurangan tempat, sekurang-kurangnya kami perlu tunggu dua tahun tapi di Malaysia, syukur Alhamdulillah, artis dari Indonesia diberikan platform untuk membuat persembahan," getusnya.

Ahmad Dhani bikin panas

Terdahulu, KD pernah diburu kontroversi empat tahun lalu apabila perkahwinannya bersama penyanyi Anang Hermansyah yang dibina sejak tahun 1996 berakhir selepas dikurniakan dua cahaya mata, Azriel, 15, dan Aurel, 13.

Tidak cukup dengan cerita perselingkuhan dengan gitaris Tohpati, Dicky Wahyudi dan cucu presiden Indonesia, Ari Sigit, KD menjalinkan hubungan pula dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos yang menjadi suaminya kini.

Kisah sensasi itu bagaimanapun kembali diungkit oleh juri Indonesian Idol, Ahmad Dhani yang menyindir Anang selepas seorang peserta menyanyikan lagu Unfaithful pada konsert program realiti televisyen itu pertengahan Mac lalu.


SUDAH berusia 39 tahun, KD menyatakan dia juga mempunyai hasrat untuk memakai hijab.

Terkesan dengan kata-kata itu, ujar KD, dia enggan memanjangkan cerita tapi menasihatkan agar semua pihak menghormati privasi dan tidak memanaskan kisah silam itu.

"Saya fikir itu tidak elok, jadi saya sampaikan ketidakselesaan saya kepada suami saya dan dia sudah menegur Ahmad Dhani secara berhemah.

"Kami ada anak-anak yang sudah dewasa dan mereka menonton acara besar itu sekali gus nampak tidak baik. Sebagai ibu bapa kami mahukan yang terbaik untuk masa depan anak-anak.

"Ahmad Dhani juga sudah meminta maaf atas kealpaan dan silap bicara itu. Memang akan memakan masa untuk masyarakat melupakan kisah yang pernah terjadi, tapi jangan membenci sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu," tegasnya.

Keluarga

Menerusi perkahwinan KD bersama Raul Lemos, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ariannha Amora, 2, dan Kellen Alexander, 1 tahun 3 bulan.

Bercerita mengenai kebahagiaan, KD menjelaskan anak-anak dan keluarga menjadi keutamaannya malah dia bersyukur diberikan peluang kedua untuk menjadi ibu dan isteri.

"Anak-anak menjadi keutamaan saya dan membuatkan saya berbangga menjadi seorang wanita. Bukan kerana saya seorang diva atau penyanyi popular tapi kerana berjaya melahirkan empat cahaya mata.

"Perkara terindah yang berlaku dalam hidup saya adalah saya tiada waktu untuk bersedih. Saya dapat sokongan daripada suami saya sepanjang masa dan berpeluang untuk kembali mencintai keluarga dan hamil lagi pada usia tidak muda.

"Saya yakin Allah dekat dengan saya dan syukur diberikan kesempatan untuk kehidupan kedua serta kembali menguruskan suami dan anak-anak.

"Walau secara kasarnya, Azriel dan Aurel (anak hasil perkahwinan dengan Anang) jauh dari mata, tapi saya sering memantau mereka. Dulu saya tidak berpeluang mendukung anak saya sebab terlalu sibuk dengan undangan nyanyian, tapi peluang kedua kali ini membuatkan saya lebih menghargai kehidupan," katanya yang mendapat keizinan Raul untuk kembali menyanyi.

Berhijab

Genap usia 39 tahun pada 24 Mac baru-baru ini, KD mengakui banyak pelajaran yang dikutip sepanjang hayatnya. Terjentik pangkal hatinya untuk bertudung tapi biarlah benar-benar ikhlas, kata KD.

"Akhirat tujuan sebenar saya, Insya-Allah sampai masa nanti saya akan berhijab. Ada peminat saya dari Pekan Baru menghantarkan hijab kepada saya dan selepas memakainya, hijab itu terus dipasarkan atas nama saya tiga hari kemudiannya.

"Mungkin itu petanda yang Allah cuba tunjukkan saya jalan. Saya senang dengan perkara ini dan sudah pasti saya mahu berhijab.

"Apabila usia menginjak tua, tanggungjawab pun semakin besar dan perlu menjadi lebih bijaksana pada masa akan datang. Insya-Allah, apabila berhijab suami saya mungkin lebih tenang," tuturnya.
Previous Post Next Post