Krisdayanti Kongsi Kesedihan Tragedi MH370



Pelantun lagu ‘Menghitung Hari’, Krisdayanti (KD) berkongsi rasa simpatinya terhadap pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Ujar KD, dia turut merasa kehilangan ketika Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan pesawat tersebut terhenti di Lautan Hindi.

“Pada 8 Mac tersebut saya sedang dalam pesawat menuju ke Pekanbaru, Indonesia. Kemudian suami memberitahu ada pesawat Malaysia hilang. Saya sangkakan hanya pesawat kecil tapi apabila diberitahu terdapat 239 penumpang dalam pesawat tersebut, saya sangat terkejut. Saya cuma mampu kirimkan Al-Fatihah dan apabila Perdana Menteri Malaysia sampaikan berita sedih itu, saya turut merasa kehilangan,” ujar KD yang sudah menjadi penumpang setia Malaysia Airlines (MAS).

“Saya sudah 14 tahun terbang bersama MAS. Bukan ulang alik Malaysia-Indonesia sahaja, tapi saya ke Australia juga menaiki MAS. Berita ini sangat menyedihkan kerana sebagai seorang ibu dan isteri, saya dapat merasakan betapa sedihnya keluarga penumpang yang menantikan kepulangan orang tersayang,” luah KD.




Dalam kesedihan tersebut, KD khabarnya akan menyanyikan sebuah lagu ‘tribute’ yang dicipta khas bagi mengenang mereka yang terlibat dengan tragedi hitam ini di persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 April hadapan.

“Saya akan menyanyikan sebuah lagu ‘tribute’ untuk MH370 dan saya harap teman-teman artis di Malaysia seperti Dato’ Siti Nurhaliza atau Amy Search berminat untuk merakam lagu ini dan menjadikan ia sebagai lagu tema,” ujar Kris.

Bercakap tentang persembahan Minggu Setiausaha tersebut, kata Kris, dia akan menyampaikan beberapa lagu popularnya seperti 'Menghitung Hari', 'Cobalah Untuk Setia', 'Pilihlah Aku', 'Aku Wanita Biasa' dan 'Mencintaimu' serta beberapa lagu duet seperti ‘Cinta’ (duet dengan Melly Goeslaw), ‘Hati Ini Telah Dilukai’ (duet dengan Ajai), ‘Tanpamu’ (lagu yang dimuatkan dalam album CTKD) juga lagu zapin, beberapa lagu Inggeris dan lagu baru petikan dari album terbarunya, 'Persembahan Ratu Cinta'.
Previous Post Next Post