Lagu motivasi hadapi dugaan


ARTIS dan penerbit berbincang untuk menghasilkan kolaborasi terbaik.

Mereka dari genre muzik berbeza tetapi bukan mustahil untuk bergabung menghasilkan satu karya. Malah, gandingan empat penyanyi muda popular ini - Nomad, Ronnie Hyperact, Encik Mimpi dan Epul Drama Band - sangat unik apabila berkolaborasi menyanyikan lagu Hikmah Atas Segalanya yang turut menyuntik elemen qasidah.

Lebih istimewa, lagu ciptaan Encik Mimpi itu dijadikan lagu khas mengenang tragedi pesawat MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu, MH370. Sehingga kini, usaha mencari MH370 masih diteruskan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa di Lautan Hindi.

Walaupun ada beberapa pihak menghasilkan lagu khas untuk MH370, mereka juga mahu menyumbangkan sesuatu dalam berkongsi karya sebagai tanda sokongan.

Encik Mimpi, 26, berkata, melodi lagu itu sebenarnya siap pada 2011 dengan lirik berbeza. Malah, versi asal lagu itu yang dimainkan secara akustik dimuat naik ke laman YouTube, tiga minggu lalu.

“Apabila saya perdengarkan kepada pihak pengurusan, Indigital Sdn Bhd, mereka mencadangkan lagu itu dijadikan lagu khas untuk MH370.





“Bagi saya, masih belum terlambat untuk lagu ini disebarkan kepada pendengar, walaupun ada pihak lain menghasilkan lagu dedikasi serupa sejak peristiwa itu berlaku.

“Lirik lagu ini universal dan malar segar. Ia boleh didengar pada bila-bila masa kerana liriknya menjurus ke arah ketuhanan.

“Ia turut disuntik elemen qasidah dan doa sebagai memberi roh kepada lagu ini dan harap ia mampu menyentuh jiwa pendengar,” katanya.

Bagi Ronnie, 37, yang juga vokalis Hyperact, walaupun antara mereka membawa lagu elemen rock, ia bukan bermakna artis genre itu tidak layak menyampaikan mesej keagamaan. Katanya, yang penting keikhlasan yang datang dari hati.

“Ia satu usaha dari kami, tidak kisah sama ada berunsur ketuhanan atau tidak, sebab muzik itu bersifat universal. Bagi saya, tidak ada kesalahan untuk saya menyanyikan lagu genre ketuhanan.

“Contohnya lagu terbaru Hyperact, Ku Tiba Lagi bercerita mengenai ketuhanan tapi segala-galanya bergantung kepada pemahaman pendengar,” katanya.

Ronnie yang baru tiba dari Johor Bahru, Johor ketika rakaman dijalankan Ahad lalu, mengakui tatkala mendapat tawaran berkolaborasi bersama Encik Mimpi, Nomad dan Epul, dia terus memberi persetujuan dan komitmen kerana melihat usaha ini satu langkah murni.

Katanya, dia juga pernah terfikir untuk melakukan usaha itu sebelum ini tetapi tidak ada kemampuan, terutama dari segi masa.

“Hyperact tidak menolak kemungkinan menghasilkan album bergenre ketuhanan tapi masih menggunakan konsep kami satu hari nanti,” katanya.

Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd Alieef Ayub, 25, akui turut tertarik untuk bekerjasama kerana melihat ia usaha positif untuk golongan muda sepertinya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu berkata, dia terpanggil menyumbangkan suara kerana melihat ia satu usaha positif untuk menunjukkan sokongan artis muda sepertinya melakukan sesuatu atas tragedi yang berlaku.

“Saya usaha dengan cara saya dan pada masa sama menyuarakan isi hati terhadap situasi yang melanda negara. Kami mungkin tidak dapat cari pesawat itu kerana limitasi yang ada, tapi kami ada bakat untuk berkongsi rasa dan keprihatinan.

“Sebelum ini, saya terbaca mengenai sikap masyarakat luar yang menghentam dan mengutuk usaha kita menjalankan pelbagai usaha menyelamat. Malah, ada masyarakat bukan Islam dari luar negara menuduh masyarakat Islam dengan pelbagai tohmahan.

“Menariknya, rakyat negara kita yang membabitkan pelbagai bangsa dan agama terus berdiri menyokong usaha kita dan menempelak mereka yang mengutuk negara kita,” katanya yang bangga mempunyai rakyat prihatin.

Dalam pada itu, Epul atau Noor Syaiful Md Zalaludin (Epul), 24, berkata, apa yang boleh dilakukan mereka hanya muzik.

“Memang orang akan melihat lagu ini sebagai tribute kepada MH370 tapi lagu ini boleh dikaitkan dengan apa saja musibah yang melanda kehidupan seharian.

“Kami mahu memotivasi semua pendengar supaya terus kuat berdepan ujian dan dugaan. Saya bangga dapat sama-sama menyumbang suara menghasilkan lagu ini.

“Ia kolaborasi pertama saya bersama penyanyi tempatan dan harap mendapat perhatian peminat,” katanya.

Walaupun Epul dan Ronnie tidak membabitkan anggota kumpulan masing-masing, mereka melihat ini sebagai usaha semua kerana tetap membawa nama band bersama-
sama.

Selain merakam single, rakaman video klip dilakukan sebagai melengkapkan usaha mereka. Video klip ringkas itu diarah Pojie Samad.

Sementara itu, Pengarah Indigital, Nana Mohamad Rom berkata, kerjasama antara Indigital dan Encik Mimpi Productions ini disifatkan sangat cepat dan mudah kerana hanya mengambil masa singkat walaupun menggabungkan empat artisnya.

Katanya, pihaknya tertarik dengan lagu dinyanyikan Encik Mimpi secara solo yang dimuat naik ke laman YouTube sebagai tributenya kepada MH370.

“Timbul idea untuk rakam lagu itu dengan menggabungkan artis Indigital dan segala-galanya berlaku dengan pantas tanpa ada masalah.

“Mereka berempat segera memberi persetujuan tanpa banyak persoalan dan memberi komitmen yang sangat membanggakan.

“Tajuk asalnya Doa Untuk Mereka tetapi ditukar kepada Hikmah Atas Segalanya untuk sedikit kelainan,” katanya.
Previous Post Next Post