Pendakwah bebas Don Daniyal hari ini tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan penggunaan hadis palsu yang dipertikaikan selebriti Wardina Safiyyah di Facebook semalam.
Menerusi rakaman video selama 18 minit, Don yang mesra disapa Ustaz Don mendakwa tindakan Wardina mempertikaikan ceramahnya hanya berdasarkan beberapa rakaman yang sudah disunting dan dimuat naik di Facebook tidak adil buat dirinya.
"Apakah niat sebenar Wardina memuat naik video yang telah diedit (sunting) sekerat-sekerat itu kemudian menghentam saya, adakah bertujuan baik atau sebaliknya, kebiasaannya video sekerat-sekerat ini hanyalah untuk tujuan propaganda," katanya dalam video penjelasan yang tersebar luas di Internet hari ini.
Semalam, timbul kekecohan di Internet dan media sosial apabila Wardina dilaporkan mengecam kesahihan dakwah Ustaz Don yang didakwa menggunakan hadis palsu dan pendustaan dalam berdakwah.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu Wardina memuat naik status menjelaskan dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa daripada teguran itu.
Wardina juga dilaporkan sedia berkomunikasi dengan Don bagi menjernihkan kekeliruan yang timbul.