Lisa Surihani Dilantik Sebagai Hos HBO


Lisa Surihani Dilantik Sebagai Hos HBO

Selepas diberi penghormatan sebagai artis tempatan pertama yang dipamerkan kisah kehidupan serta kejayaan menerusi E! News Asia Special: Lisa Surihani, pelakon kesayangan ramai itu di lamar satu lagi label penyiaran antarabangsa, HBO.

Kali ini, bakat semulajadi Lisa Surihani yang petah berbicara digunakan bagi menjayakan slot khas HBO Sentral yang akan ditayangkan di saluran HBO/HBO HD (Astro saluran 411/431) bermula 27 April ini.

HBO Sentral dalam Bahasa Melayu itu merupakan panduan bualan untuk tarikan hangat semua saluran HBO yang memberi peluang kepada para penonton untuk mengintip rancangan-rancangan hebat atau blockbuster Hollywood yang akan disiarkan setiap bulan.

Majlis pengumuman Lisa Surihani sebagai hos HBO Sentral itu telah diadakan di Hotel Grand Hyatt Jalan Pinang, di sini pagi tadi.

Menurut Lisa Surihani, pemilihannya sebagai hos pertama slot berkenaan adalah satu penghormatan mendalam, apatah lagi dia telah beberapa kali bekerjasama dengan saluran antarabangsa berkenaan sebelum ini.

“Saya telah bekerja dengan HBO Asia dalam beberapa projek dan saya gembira untuk bekerja dengan mereka.




“HBO Sentral adalah satu peluang yang luar biasa bagi saya kerana saya dapat meluahkan minat saya terhadap filem dan produksi HBO Original yang telah memenangi anugerah seperti siri popular Game Of Thrones,” katanya.

Menariknya tentang program ini kerana ianya akan turut menampilkan beberapa selebriti popular tanah air seperti Erra Fazira, Sherry Ibrahim, Hafiz Hamidun, Nabil Ahmad, Mila Jirin, Adam Korie, Raja Azura, Sharifah Shahirah untuk mendapatkan pendapat masing-masing tentang filem yang akan dipamerkan.

Tayangan perdana HBO Sentral akan ditayangkan pada 27 April ini, jam 7.15 malam dan siaran ulangannya pada 1 Mei ini (11 pagi) dan 2 Mei pada jam 8 malam.

Episod bulanan seterusnya akan disiarkan pada 25 Mei, jam 7.20 malam dan ulangan pada 276 Mei, jam 9.40 malam.
Previous Post Next Post