Nina Iskandar Tolak belajar pilih berlakon



TEKAD melupakan pelajaran semata-mata mahu menjadi pelakon. Itu adalah keputusan pelakon Nina Iskandar yang berasal dari Brunei. Nina telah berlakon beberapa filem di negara ini tetapi namanya tidaklah begitu popular.

Walaupun tindakan seperti ini bukan suatu yang bijak untuk masa depan tetapi sudah terlalu biasa bagi sesetengah dalam kalangan artis tempatan.

Nina mendapat peluang melanjutkan pelajaran tetapi menolak kerana mahu menjadi pelakon.

Tindakan Nina tentunya berbeza dengan dunia hiburan di Barat yang disertai oleh sebahagian besar artis yang mempunyai tahap akademik yang tinggi.

"Saya korbankan peluang dalam pelajaran untuk memenuhi minat berlakon yang tumbuh sejak kecil ini. Saya tidak akan menyesal menolak peluang melanjutkan pelajaran asalkan saya boleh menjadi pelakon," demikian tegas Nina.

Nampaknya hidup Nina mudah sekali, dia hanya mahu menjadi pelakon dan apabila tercapai menjadi pelakon, dia tidak berasa rugi kerana tidak berpelajaran.

"Saya tidak boleh pilih kedua-duanya sekali gus, saya hanya mampu untuk memilih satu sahaja. Kalau saya pilih pelajaran sudah tentu fokus terhadap lakonan akan terganggu," ujarnya.




Menurutnya, dia tidak perlu memaksa diri untuk melanjutkan pelajaran yang tidak disukai walaupun menuntut ilmu itu bukannya satu pilihan, suka atau tidak suka.

Percaya dengan keputusan yang dilakukan, Nina bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya menyokong keputusannya untuk tidak mahu belajar lagi.

"Saya percaya dengan keputusan saya ini. Walaupun di Brunei pelajaran adalah penting namun keputusan saya untuk menjadi pelakon adalah tepat, " tegas pelakon ini.

Dia berkata, menuntut ilmu tidak ada tarikh luputnya, bila-bila masa dia boleh menyambung pengajian kerana umurnya masih muda. Sementara peluang menjadi pelakon bukannya mudah, sebab itulah dia tidak kesal melupakan peluang belajar.

"Jadi saya akan gunakan peluang dalam bidang seni ini sebaik mungkin dan saya akan buktikan yang saya akan mencapai satu tahap yang membanggakan satu hari nanti," ujarnya.

Hapus sifat malu

Masih terlalu hijau dalam dunia seni, lakonan sulungnya dalam filem Muka Surat Cinta yang ditayangkan awal tahun lalu tidak menyerlah namanya.

Namun itu tidak membuatkan gadis berusia 23 tahun ini kecewa malah terus berusaha untuk menempatkan diri sebaris dengan bintang filem popular yang lain.

Dia akan muncul dalam filem arahan Piere Andre, Sniper yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Nina mengakui lakonannya kaku dalam filem pertamanya, Muka Surat Cinta. Namun setelah terlibat dalam beberapa filem dan drama antaranya filem Lu Gua Bro! dan drama bersiri Jika Itu Takdirku dia mengakui lakonannya semakin menyerlah.

"Saya akui kali pertama berlakon di sini saya agak kaku. Masalah utama yang saya hadapi adalah i bahasa, walaupun bahasa Melayu tetapi cara percakapannya berbeza.

"Setiap kali saya ke set penggambaran saya akan berasa takut. Saya takut pelakon dan kru-kru tidak mahu bergaul dengan saya. Namun sebenarnya orang di sini baik, pelakon-pelakon lain juga mengajar saya untuk bergaul dan seterusnya cara lakonan.

"Dengan cara itu saya mula berani dan mendapat pujian daripada peminat sendiri. Itu merupakan motivasi yang cukup tinggi buat saya untuk terus memberikan persembahan yang terbaik selepas ini," katanya.

Tambah Nina lagi, sifat malu juga merupakan satu masalah besar sedang dihadapinya namun dia cuba untuk mengikisnya agar tidak terus menghantuinya.

"Saya memang pemalu dan seorang yang pendiam tetapi saya sedar sikap itu tidak akan membawa saya ke mana-mana.

"Bagi menghilangkan sifat malu ini, saya cuba bergaul dan bercakap dengan sesiapa sahaja. Minta maaflah sekiranya ada pihak yang berasa saya ini seorang yang sombong. Saya akan cuba untuk menghilangkan perasaan malu saya ini.

"Ketika di set penggambaran juga saya belajar selok-belok bidang lakonan ini. Dari hari ke hari saya tahu tahap lakonan saya semakin baik dan saya berterima kasih kepada semua yang menolong dan mengajar saya selama ini," katanya.

Dalam proses menggilap bakat lakonannya lagi, Nina juga berhasrat untuk melibatkan diri dalam lakonan teater tempatan.

"Sebenarnya saya turut meminati bidang teater dan saya berharap agar saya berada dalam bidang teater di sini. Saya mahu berjumpa dengan penggiat teater. Saya mahu belajar daripada mereka yang mahir dalam bidang ini.

"Mungkin melalui teater saya boleh menggilap bakat serta cara lakonan saya kerana berlakon dalam teater merupakan satu perkara yang cukup sukar, tidak seperti berlakon filem.

"Diharapkan hasrat saya ini akan tercapai satu hari nanti," katanya.

Industri meriah

Bercerita mengenai kerjaya lakonannya di negara ini, jelas Nina industri seni terutamanya filem di Malaysia jauh berkembang jika dibandingkan di negaranya.

Katanya di Malaysia, bidang perfileman ini merupakan satu bidang yang cukup serius dan mempunyai peluang serta hala tuju yang cerah.

"Ternyata ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia ini saya terkejut dengan apa yang saya lalui, saya langsung tidak menjangka yang industri filem Malaysia cukup besar dan meriah.

"Saya akui saya sebenarnya terkena kejutan budaya pada awal-awal kemunculan. Di sini segala-galanya cukup berbeza dan saya terpaksa belajar tentang budaya di sini terlebih dahulu.

"Bagi saya Malaysia adalah Hollywood Asia, industri filem cukup maju, tengok sahaja dengan jumlah filem yang dihasilkan, bilangannya cukup tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

"Di Brunei, industri seni ini tidak besar dan hanya dianggap sebagai bidang sampingan sahaja. Para pelakon di sana tidak berlakon sepenuh masa.

"Ternyata di sini cukup berbeza, industri filem di Malaysia mampu untuk menjana ekonomi bahkan kebanyakan para pelakon di sini menjadikan lakonan sebagai pekerjaan tetap mereka, saya cukup berbangga kerana saya juga berpeluang berada dalam industri filem di sini," jelasnya.

Tidak mahu kecoh

Menyentuh mengenai kisah peribadi, nampaknya Nina seakan-akan ingin mengelak dari berkongsi mengenai kisah yang ingin diketahui ramai ini.

Sebelum ini ada desas-desus yang mengatakan gadis ini akan mengikat tali pertunangan dengan lelaki yang dikenali sebagai Ahmad Heikal tidak lama lagi.

Menurut beberapa laporan akhbar sebelum ini, Nina dan pasangan akan melangsungkan pertunangan selepas hari raya puasa nanti. Namun apabila ditanya, Nina bertegas untuk tidak menceritakan tentang perkara itu dan berharap media tidak lagi memainkan isu tersebut.

"Kalau boleh memang saya tidak mahu berkongsi kisah peribadi saya kepada umum buat masa ini. Berkenaan jodoh saya dengan sesiapa itu biarlah masa yang menentukan.

"Buat masa ini saya hanya mahu fokus kepada bidang kerjaya saya, insya-Allah sekiranya saya sudah bersedia untuk bertunang atau mendirikan rumah tangga saya akan maklumkan nanti," tegasnya.

Sebelum ini, Nina juga pernah digosipkan bercinta dengan anak tiri penyanyi Siti Nurhaliza. Mengulas hal ini Nina menyatakan bahawa gosip itu sebenarnya hanya salah faham semata-mata.

"Sebenarnya saya telah diundang ke majlis sambutan hari jadi Siti baru-baru ini. Itu pun produser saya maklumkan tentang jemputan itu pada saat akhir. Bila tiba di majlis itu, baru saya tahu yang anak Datuk K, Adib yang mengundang saya. Saya baru tahu yang dia minat saya. Itu kali pertama saya kenal dengan dia. Saya anggap dia sebagai peminat sama macam peminat lain. Tentang gosip mengatakan kami ada hubungan, itu sekadar gosip. Sebagai anak seni saya kena berdepan dengan perkara sebegini," jelasnya.
Previous Post Next Post