MASALAH ketumbuhandi pipinya telah ditanggung oleh Sidek sejak 30 tahun lalu.
PELAKON veteran, Sidek Hussain yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 30 Mac lalu akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.55 malam, Ahad lalu.
Pemergian arwah yang berusia 63 tahun berpunca daripada penyakit kanser tahap empat yang sudah merebak ke bahagian otak, paru-paru, hati dan tulangnya.
Bagi generasi sekarang, mungkin arwah lebih dikenali sebagai satu-satunya pelakon yang tampil dengan ketumbuhan yang besar di pipinya tetapi Sidek sebenarnya merupakan antara pelakon lelaki yang cukup hebat sekitar tahun 70-an.
Dilahirkan pada 19 Ogos 1951 dan berasal dari Kuang, Selangor, arwah mula tampil di kaca televisyen apabila berlakon dalam drama bersiri Hujan Batu Di Rantau pada tahun 1972.
Selain sudah membintangi lebih 100 buah drama sepanjang hayatnya, arwah turut tampil di layar perak menerusi filem-filem seperti Kisah Seorang Biduan, Potret Maria, Bintang Malam, Orang Minyak dan Paku Pontianak.
Memiliki lima orang anak – Khairul Nizam, 37, Siti Hajar, 34, Umi Kalsom 33, Siti Mariam, 29 dan Mohd. Adam, 26, namun tiada seorang pun anak arwah yang mengikut jejak langkahnya.
SALAH satu babak membabitkan Sidek dalam filem Toyol yang ditayangkan di pawagam pada tahun 1981.
Isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, berkata, semasa hayatnya, arwah memang tidak menggalakkan anak-anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni.
“Sebenarnya arwah ada memberitahu yang dia tidak mahu kesemua anaknya itu mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon dan lebih gemar mereka berkecimpung dalam bidang yang lain.
“Jadi, tiada seorang pun anak-anaknya yang mahu mencuba menjadi pelakon.
“Lagipun arwah seorang yang tegas di rumah dan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan anak-anak,” ujarnya ketika ditemui semasa pengebumian Sidek di di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Selangor semalam.
Ketika ditanya tentang permintaan terakhir arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sebiah memberitahu, suaminya itu ada berpesan supaya dikebumikan di tempat kelahirannya iaitu di Kuang.
Ujarnya, semasa hayat juga arwah pernah meluahkan keinginannya untuk menjejakkan kaki ke kota suci Mekah dan akhirnya ia direalisasikan setelah ada individu yang tampil dengan menaja keseluruhan kos mengerjakan umrah pada tahun lalu.
“Ketika itu dia berasa cukup gembira kerana ada pihak yang sudi menajanya. Cuma, selepas pulang daripada mengerjakan umrah, dia sudah tidak lagi berlakon atas permintaannya sendiri,” jelasnya.
KALI terakhir Sidek tampil di layar perak ialah menerusi filem Paku Pontianak yang diterbitkan oleh Metrowealth pada tahun lalu.
Kehilangan besar
Sewaktu pengebumian Sidek, turut kelihatan ramai rakan artis yang meluangkan masa untuk hadir seperti Datuk Baharuddin Omar, Nasir Bilal Khan, Nash, Abu Bakar Omar, Datuk DJ Dave dan Omar Abdullah.
Pelakon veteran, Baharuddin, 78, atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki ketika ditemui berkata, dia berasa sedih atas kehilangan rakannya itu yang sudah dikenali sejak tahun 70-an.
“Ketika itu saya dan arwah sama-sama membintangi drama bersiri yang cukup popular di RTM suatu ketika dahulu, Anjang Aki. Dalam drama tersebut saya memegang watak utama manakala arwah pula sebagai anak saudara saya.
“Walaupun dia memegang watak sebagai gengster kampung tetapi lakonan yang ditampilkannya sangat bagus serta memberi impak kepada drama itu sendiri,” luahnya.
Menurutnya, dengan pemergian arwah sudah tentu ia merupakan suatu kehilangan yang sangat besar dalam dunia lakonan dan dia melihat bahawa arwah memang dilahirkan untuk menjadi seorang pelakon.
“Sudah tentu ini merupakan satu peristiwa yang sangat menyedihkan apabila dia meninggal dunia.
“Biarpun dia berhadapan dengan masalah ketumbuhan di pipinya tetapi dia seorang pelakon yang sering memberikan komitmen,” ujarnya yang sempat bertemu Sidek sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.