Rani Mukherjee sorok kahwin


RANI MUKHERJEE bergelar isteri Aditya Chopra pada 21 April lalu.

AKTRES terkenal Bollywood, Rani Mukherjee akhirnya menamatkan zaman bujangnya pada usia 36 tahun bersama pengarah dan penerbit filem, Aditya Chopra pada 21 April lalu di Itali.

Namun, perkahwinan yang dinanti-nanti itu menjadi kontroversi apabila ia disembunyikan daripada pengetahuan pihak media, peminat dan juga rakan baik mereka sendiri.

Khabarnya, pasangan itu tidak menjemput seorang pun bintang Bollywood ke majlis bersejarah mereka kecuali pengacara, Karan Johar dan juga pereka tari, Vaibhavi Merchant yang merupakan teman rapat kepada Rani.

Sepupu Rani iaitu aktres Kajol juga meluahkan rasa terkejutnya kerana tidak menerima sebarang jemputan ke majlis tersebut.

Sikap Rani tidak menjemput Kajol telah menjadi buah mulut di Bollywood yang secara tidak langsung mengesahkan hubungan tidak baik antara mereka berdua.




Aktor terkenal, Shah Rukh Khan juga tidak menghadiri majlis itu, namun memberi ucapan tahniah kepada pasangan itu menerusi akaun Twitter miliknya.

"Semoga Tuhan berkati rakan saya Rani dan Adi. Semoga kamu bergembira atas perkara yang kecil kerana akhirnya ia akan menjadi perkara yang lebih besar. Selamat bersatu dan salam sayang daripada saya," tulis Shah Rukh Khan.

Khabarnya, Rani dan Adi ke Itali untuk bercuti. Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin di sana pada saat-saat akhir menyebabkan tiada sebarang persiapan dilakukan.

Hanya keluarga terdekat sahaja diterbangkan dari India ke Itali pada 19 April lalu. Menurut sumber terdekat Rani, perkahwinan mengejut itu dilakukan atas faktor kesihatan bapa Rani yang semakin merosot.

"Perkahwinan mereka diadakan secara kecil-kecilan di sebuah gereja di Itali. Tiada majlis yang gah, hanya sejumlah kecil pihak keluarga yang menghadiri majlis tersebut.

"Mereka berdua orang yang sukakan privasi dan mengimpikan sebuah majlis yang kecil daripada perkahwinan secara besar-besaran," kata sumber itu.
Previous Post Next Post