HUBUNGAN cinta antara pelakon jelita, Emma Maembong dengan pelawak popular, Zizan Razak bukan lagi sesuatu yang rahsia, sementelah ia turut mendapat restu keluarga masing-masing.
Namun, siapa sangka ayah Emma, Ismail Maembong yang merupakan pelukis terkenal negara, tidak mengenali Zizan di saat Emma membawa aktor itu bertemu ayahnya di rumah.
“Zizan lelaki pertama yang saya bawa jumpa ayah. Sebelum ini saya tak pernah bawa ayah jumpa mana-mana lelaki. Ayah memang tak tahu Zizan tu artis. Saya cuma cakap dengan ayah, Zizan tu orang Terengganu juga. Nasib baik mereka cepat mesra lepas berbual dalam loghat Terengganu.
“Lepas tu ayah pelik sebab bila keluar, ramai orang nak ambil gambar dengan Zizan. Bila ayah siasat dan tanya kawan-kawannya, baharu dia tahu rupanya anak dia bercinta dengan artis!” katanya.
Akui selesa bersama Zizan dan yakin dengan pilihannya itu, namun Emma tidak berani meletakkan sebarang perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Sebelum ada hubungan dengan Zizan lagi dia pernah cakap target nak kahwin umur 30, tapi saya tak berani nak rancang-rancang sebab kita tak tahu apa yang akan jadi pada masa depan.
“Saya memang serasi dengan Zizan, kami dah kenal lama sebab kami jiran di kampung. Tapi baharu beberapa bulan saya dah serius dengan dia. Macam perhubungan orang lain, kami juga perlukan masa untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum merancang perkara yang lebih besar,” kata Emma.
Walaupun orang ramai mengenali kekasihnya sebagai individu yang kelakar, Emma menjelaskan sebenarnya Zizan seorang yang tegas tetapi sensitif.
“Sebab dia kelakar, orang selalu ingat dia main-main. Tapi sebenarnya Zizan seorang yang tegas dalam buat keputusan.
“Dia juga cepat terasa. Kadang-kadang saya tak perasan dia ada terasa dengan saya, sampailah dia bagi tahu,” kata Emma sambil ketawa.
Sisi manja Emma
Dalam majlis pelancaran produk kecantikan Maixara yang memperkenalkan Emma Maembong sebagai duta baharu mereka di Menara Kuala Lumpur kelmarin, turut diadakan kejutan sambutan hari lahir Emma yang ke-21.
Terkenal dengan sifat manja, Emma sempat bercerita tentang apa yang dihadiahkan Zizan sempena hari lahirnya pada 29 Mac lalu.
“Zizan hadiahkan saya patung Mermaid. Saya memang suka anak patung macam Mermaid dan Barbie sebab saya minat cerita-cerita fantasi dan ‘fairy tale’.
"Ramai orang cakap Emma manja macam budak-budak. Ini diri Emma yang sebenar, Emma memang manja, terutamanya dengan ayah,” katanya.
Walaupun begitu, Emma sering dipuji peminat kerana mampu melakonkan babak air mata dengan berjaya dan kelihatan natural.
Apabila ditanya tentang inspirasinya untuk melakonkan watak-watak sedemikian, Emma menjawab dia akan meletakkan situasinya sebagai watak tersebut dengan membayangkan penderitaan yang dihadapi oleh karakter yang perlu dilakonkannya.
“Contohnya kalau kena berlakon watak kena dera, bayangkan diri kena dera sahaja, air mata saya boleh jatuh.
“Selain tu, saya jadikan kakak, Yaya Maembong sebagai guru lakonan. Kakak saya boleh menangis secara tiba-tiba walaupun tak ada apa-apa benda sedih yang berlaku.
Pernah dulu masa kami tengah buat kuih raya, saya bergurau suruh Kak Yaya menangis dan dia betul-betul menangis!” Kata Emma.
Duta baharu Maixara
Lantaran kecantikannya yang tidak boleh disangkal, tidak hairanlah Emma dipilih sebagai duta baharu produk kecantikan Maixara yang sebelum ini dipegang oleh Diana Rafar.
Ketika dilamar untuk mencuba produk oleh pemilik Maixara, Nor Ainna Ibrahim, Emma tanpa berfikir panjang terus mencubanya dan ternyata produk tersebut sesuai dengannya.
“Saya dah cuba produk ni selama beberapa bulan. Senang sebab produk ni macam vitamin, boleh bawa ke mana-mana dan kunyah macam gula-gula. Suplemen ni penting untuk saya tambah tenaga dan jaga kesihatan sebab jadual kerja padat, kadang-kadang shooting sampai sehari suntuk.
“Saya juga banyak minum air suam dan sentiasa pastikan untuk buang mekap sebelum tidur. Perubahan pada kulit Emma setelah makan produk Maixara memang terasa, tapi takkan nak puji diri sendiri pula kan,” jelas Emma sambil berseloroh.
Warisi bakat bapa
Dalam perkembangan lain, Emma kini dalam fasa berehat dan tidak menjalani mana-mana penggambaran drama bersiri selepas menyempurnakan penggambaran Projek Memikat Suami telefilem Syurga Tanpa Cinta.
Kesempatan berehat yang diambil bermula awal April itu diisi dengan meluangkan masa bersama keluarga di samping membantu ayahnya dengan kerja-kerja seni lukis.
“Kadang-kadang lepas lukis saya akan upload gambar dekat Instagram. Tak sangka ada orang suka sampai nak beli lukisan saya.
"Tapi saya hanya jual pada yang bersungguh-sungguh saja sebagai tanda hargai sokongan mereka. Tapi tujuan utama saya melukis memang sebab minat, bukan untuk wang,” kata Emma yang mewarisi bakat ayahnya itu.