Biar matang fikiran dan tindakan



Perlukah mengamuk di laman sosial apabila ada yang mempersoalkan anugerah diterima? Perlukah soal hukum agama dijadikan bahan lawak di laman sosial?

Tindakan dua artis ini di laman sosial Khamis lalu, ibarat hari bodoh sedunia artis kita hingga mengundang maklum balas masyarakat.

Berita tiga artis, Pian Cecupak, Nash dan Boy Iman dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (DJNM) dari kerajaan Naning yang membawa gelaran Datuk baru-baru ini, mendapat perhatian masyarakat.

Mereka mempersoalkan atas dasar apa mereka menerima anugerah, terutama Pian dan Boy Iman. Lebih panas apabila keluar berita mengatakan anugerah diterima tidak sah.


Sudahlah masyarakat mempersoalkan apa sumbangan mereka hingga layak menerima anugerah itu, kini apabila Pian mengamuk di laman sosial, tentu pandangan lebih buruk diberi kepadanya. Dari situ masyarakat menilai bagaimana pemikiran seseorang itu, sama ada bijak atau pendek akal.






Tindakan masyarakat mempersoalkan anugerah diterima artis bukan isu baru. Malah, ada pingat yang diterima dari pada sultan dan Ketua Menteri pun dipersoalkan.

Tidak terkecuali anugerah diterima beberapa artis dari Kesultanan Sulu sedikit masa dulu. Kecoh juga seketika status Datuk yang mereka terima.

Pelakon dan pelawak Harith Iskander pula dalam Twitternya bergurau mengenai hudud yang menjadi topik panas akhir-akhir ini.

Walaupun Harith dalam golongan generasi terbuka, tapi dalam soal hukum agama tidak perlu disentuh. Dulu pelawak dan pelakon Patrick Teoh diselar kerana mempersoalkan solat lima waktu dilakukan umat Islam, kali ini Harith bergurau soal hukum Islam.

Lawak dalam Twitter itu tidak seharusnya dilakukan seorang yang beragama Islam dan matang sepertinya. Kalau artis Islam mempersendakan hukum agama, bagaimana penganut agama lain hendak menghormati Islam?

Kalau pun tidak setuju, tidak perlu dicanang satu negara di laman sosial. Moga jadi pengajaran kepada Harith dan juga selebriti lainnya kerana ia dengan cepat akan menjadi perhatian.
Previous Post Next Post