Natasha Hudson miliki segalanya



NATASHA lebih senang mengutamakan keluarga kerana semua urusan diurus sendiri.

TERPANCAR keceriaan di raut wajah Natasha Hudson atau nama sebenarnya Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson, tatkala dipinta bercerita tentang kehidupannya sekarang yang merupakan isteri untuk kali ketiga dan ibu kepada dua orang anak itu.

Tiada apa yang diingini olehnya selain tanda syukur dipanjatkan dan terima kasih Tuhan katanya kerana diperlengkapkan kehidupan bahagia bersama suami dan anak-anak.

Sudah pastinya, setiap yang berlaku dulu memberi satu lagi sebab untuk diri si cantik ini untuk terus berdiri menjadi insan yang lebih baik pada hari ini.

“Semua yang berlaku dulu perlu saya telan dan jadikan pengajaran. Perkahwinan kali ketiga ini sebenarnya banyak mengajar saya erti kehidupan.

“Hidup sekarang saya simpulkan sebagai bahagia kerana ada suami dan dua orang anak yang sering memberikan sinar dalam kehidupan saya.






“Saya tidak sunyi lagi selepas kehadiran Khalid Kamal (suami) dan dua orang anak, Nessa Helena, 6, dan Naeema, 1.

“Saya kini optimis dengan kehidupan dan sentiasa menyibukkan diri dengan karier serta menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak," katanya sambil memberitahu yang dia memang sentiasa meletakkan keluarga kecilnya jauh lebih penting daripada segala-galanya.

Menceritakan pemilihan Khalid sebagai suami, wanita berusia 32 tahun ini memberitahu, ia dilakukan sewaktu mengerjakan umrah pada penghujung Mac 2012.

“Walaupun perkahwinan saya dulu sangat sederhana, saya yakin dengan pilihan saya. Pada mulanya dulu, saya terkejut dan hampir tidak percaya apabila sah menjadi isteri Khalid.

“Sudah pasti, sebagai isteri, saya mahukan seorang suami yang dapat membimbing saya dan anak ke arah kebaikan. Sekarang, Khalid telah membuktikan kemampuannya menjadi seorang suami yang saya harapkan," katanya dalam nada terharu.

Dalami ilmu agama

Melalui masa-masa sukar sebelum ini, Natasha yang pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih dan Datuk Shahrin Zahari kini sebenarnya sedang sibuk menyambung kuliah di peringkat diploma dalam jurusan Pengajian Islam di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat.

Bakal menamatkan pengajian pada Mei ini, Natasha memberitahu, itu adalah salah satu cara dia untuk mendalami agama Islam dan tidak mahu penghijrahannya hanya sekadar di bibir sebaliknya mahu memperbaiki diri dengan cara yang betul.

“Saya tidak mahu sekadar berhijrah pada kata-kata dan ingin mendalami ilmu tentang Islam dan itu adalah tujuan utama mengapa saya dan suami mengambil diploma dalam pendidikan Islam.

“Masih banyak perkara yang saya tidak faham dan menerusi pembelajaran ini ia banyak memberi manfaat dan pemahaman tentang Islam dalam diri saya," katanya yang ingin menyambung pelajaran sehingga peringkat ijazah.

Menurut Natasha, menyambung pelajaran dan mendalami ilmu agama adalah cita-citanya dan bersyukur doanya sudah dimakbulkan.

“Tidak lama lagi Institut Arees bakal dibuka di Malaysia dan kami merupakan antara pelajar pertama. Walaupun sibuk dengan keluarga, itu bukan alasan untuk saya tidak menimba ilmu.

“Saya bukan sahaja dapat menambah ilmu tetapi hubungan suami-isteri akan menjadi lebih akrab dan romantik," balasnya.

Dikenali sebagai antara pelakon wanita yang mempunyai raut wajah yang cantik, Natasha yang memilih untuk mengenakan tudung memberitahu hidupnya lebih tenang dengan penampilan tersebut.

“Niat itu datang dengan sendirinya selepas pulang dari tanah suci Mekah. Yang pasti saya selesa.

“Anak saya Nessa sebenarnya sudah bijak berkata-kata. Dia akan tegur jika kita tidak mengenakan tudung dengan betul," katanya yang senang mendampingi anak-anak dan melihat mereka membesar di depan mata.

Tidak pernah terfikir untuk terus meninggalkan kerjaya seninya yang kelihatan semakin suram, tegas Natasha, selepas bernikah dengan Khalid atau nama pentasnya, Carleed Khaza dan melahirkan anaknya, Naeema, landasan yang ditujunya semakin berbeza dan jauh daripada lapangan seni.

Dia kini lebih fokus kepada bidang perniagaan busana muslimah yang semakin berkembang, malah suaminya juga agak keberatan untuk melepaskannya menyanyi.

“Kali terakhir saya berlakon adalah filem Mamak Cupcake ketika sedang hamil Naeema empat bulan. Sejak itu saya langsung tidak berlakon lagi. Lagipun, suami yang membantu menguruskan saya.

“Hala tuju saya sudah berubah sekarang iaitu dengan memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan. Saya tidak ambil pembantu rumah kerana semuanya saya uruskan sendiri, jadi masa agak terhad.

“Tambahan pula, saya memberi susu badan kepada Naeema dan agak sukar untuk saya berlakon. Saya selesa bekerja dari rumah sahaja. Jika keluar ke mana-mana majlis, pasti saya akan membawa anak-anak sekali," tegasnya.
Previous Post Next Post