Ziana Zain Masuk Kelas Semula



SETIAP kali melihat Ziana Zain mendendangkan lagu, penonton pasti terpegun kerana dalam usia melangkaui 46 tahun, dia masih mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi. Bagaimana pula dengan yang empunya diri, adakah dia selesa dengan kelebihannya itu?

Biarpun ada yang berkata, lagu-lagu bernada tinggi adalah 'makanan' penyanyi itu, namun bagi Ziana sendiri dia tetap berhati-hati setiap kali menjayakan persembahan.

Terkini sebagai persediaan untuk menjayakan konsert solonya yang bertema I Am Ziana Zain pada 27 September depan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ziana meletakkan dirinya sebagai orang baharu dalam bidang seni suara.

Ini kerana kali terakhir Ziana mengadakan konsert solo adalah pada 2001 menerusi Ziana Zain In The Park di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).






“Selepas 15 tahun baru saya berkesempatan mengadakan konsert solo sendiri. Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai kenangan terindah untuk para peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini.

“Buat masa sekarang saya sibuk menjalani latihan vokal sebab pada konsert itu kelak, saya akan mendendangkan kira-kira 22 buah lagu yang dipetik daripada album pertama hingga kini. Jadi sepanjang persembahan saya perlu bertenaga dan mengawal pernafasan bagi memastikan lagu-lagu bernada tinggi yang disampaikan enak didengar," katanya yang bakal diiringi oleh 22 pemuzik orkestra pimpinan Aubrey Suwito.

Memandangkan konsert tersebut bakal diadakan di negeri kelahirannya, keterujaan jelas terbayang di wajah Ziana. Konsert solonya yang pertama diadakan di Melaka itu adalah anjuran Gold Earth Pictures dengan kerjasama syarikatnya, Ziana Zain Ventures.

Dalam pada itu, Ziana yang ditemui sewaktu persembahan sempena Minggu Setiausaha di Astana Ballroom, Hotel M.S Garden, Kuantan, baru-baru ini berkata, dia amat terharu dengan sambutan yang diberi oleh para peminatnya di sebelah Pantai Timur.

“Sesungguhnya saya amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para peminat di sini. Ini merupakan kali pertama saya menjayakan Minggu Setiausaha di Kuantan. Rupa-rupanya orang di sebelah Pantai Timur ini sporting pula tu. Lain kali kalau diberi peluang untuk mengadakan persembahan di sini lagi, saya tidak akan menolak," kata Ziana yang memulakan persembahan dengan lagu rancak, Sangkar Cinta.

Biarpun agak jarang bersua, penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu bernada tinggi itu masih mampu mengekalkan tenaganya untuk menghiburkan kira-kira 300 hadirin selama kira-kira sejam.

Merupakan persembahan kali pertamanya di negeri Pantai Timur, Ziana Zain yang mendendangkan lapan lagu sepanjang persembahan membuatkan para tetamu bersorak dan rata-ratanya teruja menatap wajah penghibur kesayangan mereka.

Menampilkan kesemua lagu-lagu hits, Ziana menambat hati para tetamu untuk turut sama menyanyi ditambah pula dengan penonton yang mudah bekerjasama. Celoteh Ziana yang tidak henti itu sangat menghidupkan suasana.

Tidak dinafikan, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain mempunyai kelompok peminatnya tersendiri yang sanggup hadir dari jauh seperti dari Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur untuk mengikuti persembahannya.

Malah ada peminatnya yang bekerja di luar negara sanggup terbang pulang ke sini semata-mata untuk mengikuti persembahan penyanyi kesayangannya, termasuklah isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim.
Previous Post Next Post