Vicha Gigih seorang ibu tunggal



DARIPADA raut wajah Vicha yang lucu dan ceria, apatah lagi bentuk tubuhnya yang montel itu, dia memang mudah untuk mencuit hati para penonton sama ada melalui kaca televisyen (TV) mahupun persembahan pentas.

Buktinya anggota kumpulan Saywho dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) ini telah dipilih bersama kumpulannya itu bertanding dalam MLM terbitan saluran Astro Warna pada musim pertama, kedua dan ketiga.

Sayangnya, dalam keceriaan itu ramai yang tidak mengetahui Vicha kini sedang memikul tanggungjawab berat sebagai seorang ibu tunggal selepas rumahtangga yang dibinanya hancur di tengah jalan tiga tahun lalu.

Menurut Vicha atau nama sebenarnya Refika Noviati Faturohman, demi mencari rezeki di sini dia terpaksa berpisah dengan tiga orang anaknya yang kini di bawah jagaan ibunya, Tuti Haryati, 53, di Bandung, Indonesia.






“Sebenarnya, sejak Ogos tahun 2013 iaitu selepas MLM berakhir saya belum pulang ke Bandung lagi. Anak-anak saya pula masih kecil tetapi apakan daya saya tiada pilihan kerana berlakon, menyanyi dan mengacara adalah kerja saya.

“Kebetulan selepas MLM berakhir saya mendapat banyak tawaran berlakon dan menjadi pengacara majlis di sini. Jadi, buat masa ini saya terpaksa berpisah dengan mereka demi mencari rezeki bagi membesarkan mereka.

“Kalau saya tolak peluang itu rugi pula. Ini kerana, peluang-peluang yang saya dapat itu lebih bagus berbanding di negara saya," kata anak seni warganegara Indonesia ini kepada Hits di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelawak dan pengacara berusia 26 tahun ini yang cuma sempat melayari bahtera rumahtangga selama lima tahun sebelum bercerai dikurniakan tiga anak iaitu Aurael Angelina Khezya, 5, Listya Arum Fresnasih, 4, dan Michele Averina, 3.

Sungguhpun berjauhan daripada anak-anaknya di Bandung, namun itu bukan alasan untuk Vicha putus hubungan ataupun melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu yang mahu melihat mereka membesar dengan normal.

“Walau bagaimana sibuk sekalipun setiap pagi saya pasti akan menelefon ibu dan bercakap dengan anak-anak saya. Itu adalah rutin saya setiap hari kerana saya harap cara itu dapat merapatkan hubungan dengan mereka.

“Selain itu, setiap bulan saya juga tidak lupa mengirimkan wang kepada ibu untuk perbelanjaan seharian anak-anak saya di sana. Saya kirim tidak kurang RM3,000 setiap bulan sama ada untuk beli susu mahupun belanja sekolah mereka.

“Biarlah saya yang terpaksa bekerja keras di Malaysia asalkan ibu dan anak-anak saya di Bandung dapat hidup sempurna macam orang lain. Sekarang ini rezeki saya, jadi saya akan gunakan sebaik-baiknya," ujarnya.

Di samping perbelanjaan seharian ibu dan anak-anaknya, Vicha juga tidak lupa membantu menghulurkan belanja buat dua adiknya, Ghandi Hardianti, 13, dan Ghenada, 11, yang masih bersekolah melalui sumbangan itu.

Sewaktu ditanya sampai bilakah dia akan menetap dan berjauhan dengan keluarganya semata-mata kerana mencari rezeki di Kuala Lumpur, selebriti dengan berat badan 127 kilogram ini seakan-akan tidak punya jawapan.

Sebaliknya, dia yang bergandingan dengan dua lagi anggota trio Saywho iaitu Bocil, 30, dan Rezza, 24, menyerahkan rezeki serta ketentuan Allah bagi menentukan hala tuju dan perjalanannya hidupnya di masa depan.

“Itu saya tidak boleh kasi tahu. Ini semua kerja Tuhan, Dia yang akan mengaturkan perjalanan hidup saya. Cuma apa yang pasti buat masa ini saya selalu sibuk di Kuala Lumpur dan undangan saya bersama Saywho masih banyak.

“Antaranya dengan berlakon dalam telemovie di saluran-saluran TV Astro. Saya juga banyak diundang sebagai pengacara dalam macam-macam majlis seperti makan malam dan juga persembahan pentas.

“Sebab itu, selagi bakat saya diperlukan, makanya selagi itu jugalah saya akan berada dan bekerja di sini. Syukur Alhamdulillah setakat ini tawaran yang saya terima belum putus-putus. Ini juga adalah rezeki anak-anak saya," jelasnya.

Sungguhpun begitu, pada masa sama Vicha tidak menafikan adakalanya dia berasa kesunyian apabila tinggal berjauhan daripada keluarga dan anaknya tanpa ditemani oleh orang tersayang terutama lelaki bergelar suami.

Justeru, selebriti yang sentiasa ceria ini tidak menafikan hatinya tidak serik untuk berkahwin lagi, malah secara berterus terang menyatakan jika boleh dia berdoa agar ditemukan jodoh dengan lelaki Melayu dari negara ini.

“Saya rasa kalau jodoh saya orang Malaysia ia akan lebih memudahkan kerja saya. Selama ini saya terpaksa memperbaharui surat dan permit kerja saya setiap enam bulan. Kalau suami saya orang sini makanya ia akan lebih mudah lagi.

“Apatah lagi, saya juga sudah semakin boleh menyesuaikan diri di sini termasuklah soal makan dan minum. Kalau dulu, setiap kali datang ke sini saya akan bawa banyak makanan dari Indonesia seperti Indo Mi untuk kegunaan saya.

“Ini kerana, pada mulanya saya kurang biasa dengan makanan di sini. Contohnya, makanan segera KFC (Kentucky Fried Chicken) yang ada di sini sos sambalnya tidak sama rasanya dengan yang ada di Indonesia.

“Pernah saya juga membawa batu giling sendiri dari kampung saya ke sini semata-mata mahu masak makanan pedas. Tetapi sekarang saya sudah tahu ada banyak kedai yang menjual makanan Indonesia di sini," katanya.

Tambah Vicha lagi, kalau boleh dia juga mahu bakal suaminya kelak memahami kerjayanya sebagai anak seni dan statusnya sebagai ibu tunggal selain mengimpikan jejaka itu biarlah lebih tinggi daripadanya.

“Saya tidak pilih bakal suami saya itu terlalu kacak ataupun tidak. Tetapi apa yang paling penting dia mestilah lebih tinggi daripada saya. Tidak kira jugalah sama ada dia kurus ataupun gemuk macam saya," ujarnya sambil ketawa kecil.
Previous Post Next Post