Shaheizy Sam tunggu jodoh



SEDAR akan usianya yang semakin meningkat, aktor kacak Shaheizy Sam atau mesra disapa sebagai Sam mengakui dia mula serius memikirkan soal jodoh. Sementelah melihat rakan sebayanya yang telah dikurniakan anak atas perkahwinan mereka, Sam mengakui adakalanya hati terdetik rasa cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga pasangan artis lain.

Sifatnya yang amat menyayangi kanak-kanak terutama tatkala melihat bayi comel telah mendorong jejaka berusia 32 tahun itu mula membayangi mahligai idamannya.

Sam mengakui akhir-akhir ini dia sering berdoa kepada Yang Maha Esa agar dipertemukan jodoh secepat mungkin dengan wanita yang terbaik.






Meskipun sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga, Sam menafikan dia telah mempunyai kekasih hati ketika ini, jauh sekali calon isteri.

Dia lebih selesa mengambil langkah tunggu dan lihat siapakah wanita yang bakal menghuni ruang kosong di hatinya.

“Saya tahu pada umur begini, sepatutnya sudah mula mengorak langkah yang lebih matang dan serius dalam hal rumah tangga. Tapi, pada masa yang sama saya tidak mahu mendesak diri sendiri ke arah itu. Biarlah masa menentukan kerana jodoh itu tidak ke mana," katanya.

Sebagai seorang lelaki yang usianya sudah mencecah lebih 30 tahun, Sam mengakui dia semakin bimbang dalam keadaan keseorangan seperti sekarang.

Mana tidaknya, ditakdirkan masih menanti beberapa tahun lagi untuk berkahwin, risau pula akan muncul masalah lain kepada dirinya dan keluarga yang bakal dibina.

“Saya lelaki normal macam orang lain juga. Sudah tentu saya mengidamkan sebuah keluarga yang besar. Saya mahu ada isteri, ada anak-anak yang melengkapkan kehidupan kami.

“Pada usia sekarang, dalam keadaan masih solo tanpa teman wanita, saya menjadi sangat takut. Saya takut bila berkahwin terlalu lambat dan anak-anak masih kecil ketika saya sudah jadi tua. Saya bimbang masa itu tidak mampu lagi menjaga keluarga dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, Sam sangat percaya Yang Maha Esa mempunyai percaturan buat dirinya. Akan ada wanita yang hadir sebagai suri di hati, dan dia perlu menunggu kehadiran itu dengan penuh reda.

“Buat diri saya sendiri, saya bersedia jadi suami, jadi ayah kepada anak-anak. Bagaimanapun apabila Allah belum takdirkan jodoh saya sampai, saya reda. Saya juga bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang tidak pernah mendesak atau memaksa untuk saya segera mendirikan rumah tangga," katanya.

Tambah membahagiakan dirinya, ibunya juga tidak pernah masuk campur dalam soal siapa jodohnya dan dengan siapa dia berkawan ketika ini.

“Mummy sangat faham diri saya. Dia tidak pernah melarang atau mendesak saya berkahwin, tidak pernah memaksa saya.

“Selain tidak cerewet, Mummy juga begitu terbuka dalam hal jodoh anak-anak. Sesiapa yang bakal menjadi menantunya, dia akan terima dengan baik tanpa menetapkan kriteria-kriteria tertentu," jelas Sam ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta produk perisa makanan Mahsuri, di Bangsar baru-baru ini.
Previous Post Next Post