Wings sedia gegar PICC



KUMPULAN rock legenda terkenal tanah air, Wings, menerusi beberapa konsert sebelum ini lebih selesa tampil dengan persembahan yang penuh agresif.

Namun, kali ini kumpulan berkaliber ini menguji kemampuan dan kreativiti mereka dengan cara yang berbeza iaitu dengan konsep, tanpa bunyi bingit daripada gitar elektrik.

Setelah konsert Wings Rockestra pada tahun lalu mendapat sambutan hangat, Wings bakal muncul dengan konsert terbaru mereka, ‘Wings Versi Tanpa Distortion’.

Dijangkakan, konsert yang menjanjikan kelainan ini bakal diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), pada 8 Jun ini.

Menariknya, ini merupakan persembahan berkonsepkan restrospektik akustik yang pertama kali diadakan Wings dalam skala besar sejak album pertama mereka pada 1987.






Rasanya, bukan sahaja peminat tidak sabar menantikan konsert ini, malah kumpulan ini juga sudah tidak sabar untuk beraksi menggegarkan PICC dengan himpunan lagu-lagu hit mereka.

Apatah lagi, kumpulan yang dianggotai Awie (vokal), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) kini sibuk membuat latihan bagi memantapkan persembahan mereka.

Menurut Awie, semuanya sudah hampir selesai, cuma kini, dia mengambil sedikit masa lagi untuk latihan vokal.

“Kami menyiapkan diri dalam segi kesihatan. Harap-harap kami semua sihat. Setakat ini kesihatan saya sedikit terganggu tapi saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar.

“Saya yakin, kami akan memberikan kepuasan kepada peminat kerana kami bukan saja menyampaikan lagu-lagu daripada album kami.

"Kami juga akan mempersembahkan, tribute lagu-lagu daripada kumpulan legenda rock tanah air termasuk lagu, Ibu, dari kumpulan Blues Gang, Pada Syurga Diwajahmu (Lefthanded) dan beberapa lagu lain mengikut versi kami sendiri,” katanya.

Tambah Awie, walaupun konsert ini adalah persembahan pertama tanpa gitar elektrik, namun dia yakin berbekalkan pengalaman konsert di Istana Budaya yang lalu, mereka dapat mempersembahkan sebuah konsert yang memberi impak kepada peminat.

“Setakat ini kami tidak mempunyai apa-apa kerisauan walaupun ini kali pertama kami persembahkan konsert versi akustik.

"Sebelum ini, kami pernah buat versi begini ketika konsert di Istana Budaya (IB),” katanya.

Konsert ini turut mempersembahkan barisan pemuzik profesional seperti pemain gitar tersohor negara, Hillary Ang, gitaris hebat, Edrie Hashim, Ujang, pianist Lee Sze Wan, pemain perkusi, Hamzah dan penyanyi latar Izzat Izzuddin.

Penghargaan kepada peminat

Dalam pada itu, Awie berharap konsert kali ini bakal memberi kepuasan maksima kepada penonton yang hadir.

“Wings mahu kejayaan daripada sudut persembahan. Konsert ini adalah penghargaan kepada peminat Wings yang menyokong kami selama 30 tahun dalam industri.

“Lagu-lagu baharu juga bakal kami nyanyikan untuk persembahan pada malam itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Awie turut memberitahu, konsert ini lebih santai dan memberi ruang kepada peminat untuk menghayati versi konsert kali ini.

Katanya lagi, ia tentulah merupakan hadiah buat peminat mereka yang setia menyokong perjalanan Wings selama ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana masih menyokong Wings dan ia adalah khusus untuk mereka," ujarnya lagi.

Ruang yang lebih selesa

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PICC, Badlishah Ahmad berkata, segala kelengkapan dan dewan sedang dalam persiapan.

Malah, pihaknya turut menjanjikan keselesaan buat peminat Wings.

“Kita ingin menjadikan Wings sebagai sebuah kumpulan yang diangkat ke tahap yang tersendiri seperti pemuzik legenda Barat seperti Scorpions dan Led Zappelin.

"Pada malam itu juga, penonton turut memakai pakaian korporat atau 'smart kasual' apabila memasuki dewan ini untuk berhibur,” katanya.

Menurut Badlishah lagi, selama dua hari penjualan tiket dibuka di laman sosial hebahan PICC, hampir 50 peratus tiket berjaya dijual.

Katanya, ini membuktikan Wings masih unggul dan berjaya menghimpunkan kelompok peminat yang ramai.

"Menyedari kumpulan ini mempunyai populariti yang hebat, kami menyediakan dewan yang mampu memuatkan lebih 5,000 penonton.

“Kami mahu konsert ini menjadi persembahan yang diingati kerana kebanyakan orang korporat hari ini rata-ratanya merupakan peminat setia Wings.

"Ramai juga dalam kalangan peminat dahulu, kini sudah berkeluarga. Pastinya, ruang yang disediakan dapat ditonton seisi keluarga," katanya.

Tambah Badlishah, peminat yang masih belum mendapatkan tiket, boleh dapatkannya dengan harga RM99, RM149, RM199, RM249 dan RM299 menerusi laman sesawang, www.ezitix.net atau di talian 03-8887 6000.
Previous Post Next Post