Dunia Seni Surnia



SESUNGGUHNYA, dunia teater antara platform terbaik untuk mencungkil bakat sama ada lakonan atau nyanyian seseorang.

Di atas pentas, segala gerak geri menjadi tumpuan penonton dan sekiranya ada kesilapan kecil ia mampu mencacatkan rentak perjalanan persembahan.

Begitu juga dengan Surnia Fizul Awang Jamain, 26, yang mengamalkan prinsip dan disiplin tinggi agar setiap lakonannya tiada cacat cela.

Bermula dengan pementasan teater, Surnia memulakan langkah demi minat mendalam terhadap seni lakon yang dirasakan dekat dengan jiwanya sejak kecil lagi.






Biarpun pada mulanya dia hanya memegang watak kecil atau sampingan, dia kental mengikutinya agar langkah itu tidak sumbang di pentas.

Menceritakan pengalamannya, Surnia bermula dengan watak pendekar atau pesilat menerusi pementasan Semerah Padi yang dianjurkan beberapa tahun lalu.

"Minat berteater mula bercambah sejak saya mengikuti bengkel teater yang dianjurkan produksi Revolution Stage (RS), khusus pada bakat muda.

"Selepas tamat bengkel, kami menganjurkan satu projek istimewa iaitu Budak Baru," katanya turut terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Terkini, Surnia bakal muncul dengan pementasan teater keduanya iaitu Teater Muzikal Sudirmania pada 28 Mei hingga 1 Jun di Lambang Sari, Istana Budaya.

Teater pertamanya, Ramlee Festasi mengenai perjalanan hidup karyawan terkenal, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu dan filem yang pernah dilakonkan Allahyarham.

Teruskan legasi Sudirman

Menurut anak kelahiran Sri Aman, Sarawak ini, projek terbaharunya menerusi teater muzikal Sudirmania yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, menceritakan sekumpulan anak muda yang teruja dengan Konsert Gergasi Chow Kit Road 1986.

Konsert yang diadakan secara percuma itu dijadikan latar belakang kepada pementasan bagi menghidupkan kembali zaman kegemilangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang tiada galang ganti.

"Tidak sukar untuk menggalas watak anak kampung namun ia bukan semudah yang disangka.

"Kami tiada maklumat mengenai situasi yang berlaku ketika itu. Malah ia merupakan satu cabaran besar bagi kami kerana kebanyakan saksi hidup mungkin sudah tiada di dunia untuk menceritakan segala-galanya yang berlaku," ujarnya.

Memegang watak sebagai Ramlan Yusof, sudah pasti cabarannya berbeza berbanding rakan-rakan seangkatannya yang lain.

"Watak saya merupakan jejaka yang jatuh cinta dengan gadis kaya, Zeti lakonan Intan Nor Saina.

"Dalam masa yang sama, ada pasangan yang turut menyertai rombongan ke konsert tersebut sebagai penyeri persembahan," katanya.

Malah Surnia turut menyumbangkan beberapa lagu secara solo dan berkumpulan agar warisan lagu-lagu Sudirman terus ingati generasi muda.

Antara lagu yang didendangkan adalah Pelangi Petang, Aku Penganggur, Terluka Lagi, Milik Siapa Hati Ini dan lagu solo, Hilang Berganti.

Selain Surnia, ia turut dilakonkan barisan pelakon baharu seperti Intan Nor Saina, Kirin Muhammad, Mustaqim Mohamed dan ramai lagi.

Projek Budak Baru

Dalam pada itu, Surnia berkongsi mengenai projek Budak Baru yang disertainya beberapa tahun lalu dan diterajui oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam teater.

Katanya, sebelum mula serius berteater, dia menyertai projek ini bagi memantapkan lakonannya yang disertai golongan muda.

"Projek ini diuruskan oleh pengarah kami sendiri, Khairunazwan Rodzy yang membimbing pelakon indie atau independent dalam persembahan.

"Malah sebelum pementasan ini, teater Jam Dinding Yang Berdetak juga dibawah bimbingan Khairunazwan untuk mengkomersialkan pelakon indie," ujarnya.

Bagi Surnia, projek BB merupakan satu solusi terbaik bagi penggiat seni mengasah bakat mereka terutamanya golongan belia dan pelapis baharu generasi teater.
Previous Post Next Post