Zizan Razak rahsia nilai kontrak


Zizan Razak kini berbangga dengan pembukaan cawangan ketiga kedai burgerbyte yang terletak di bangi, selangor.

NILAINYA tinggi! Bagaimanapun usah ditanya berapa nilai kontrak yang ditawarkan oleh pihak Astro kepada Zizan Razak kerana pelawak, pelakon dan pengacara popular itu masih belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum.

Mengaku sudah selesai menandatangani kontrak hak eksklusif bersama Astro sekitar minggu ini, kata pelawak berusia 30 tahun ini, meski sebelum ini kecoh diulit khabar angin mengenai perancangan Astro untuk menawarkan kontrak bernilai RM2 juta kepadanya, Zizan bagaimanapun tidak dapat memberi ulasan panjang kerana ketika itu pihak Astro belum menemuinya secara peribadi.

"Sebelum ini saya tak boleh nak beri komen lebih sebab benda belum berlaku. Saya juga beriya-iya dijemput ke Parti H Live baru-baru ini. Rupa-rupanya mereka nak buat pengumuman mengenai hal tersebut. Saya sendiri terkejut.






"Namun, Alhamdulillah, dua tiga hari selepas majlis tersebut saya dan pihak Astro dah memeterai kontrak bersama.

"Ada yang kata nilai kontrak itu RM2 juta. Cuma saya dan pihak Astro sahaja yang tahu berapa nilai sebenar. Maaf saya tak boleh dedahkannya. Apa yang saya boleh katakan, saya bersyukur dengan limpah rezeki yang Allah S.W.T berikan," katanya.

Dalam pada itu, meski ramai yang bersetuju mungkin Zizan kini adalah lelaki termahal dalam dunia hiburan tanah air, dia bagaimanapun dalam rendah diri mahu agar seluruh masyarakat mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Bercakap mengenai nilai tinggi, Zizan yang baru sahaja membuka cawangan Burgerbyte di Bangi, Selangor baru-baru ini, optimis bahawa pelanggan akan tetap memberi sokongan kepadanya kerana produk makanan tersebut dan bukan sekadar menjual namanya.

"Ini merupakan kedai cawangan ketiga Burgerbyte selepas Sentul dan Damansara Perdana. Dalam tempoh enam bulan beroperasi saya dan rakan niaga berjaya membuka tiga buah cawangan Burgerbyte.

"InsyaAllah, kami juga dalam perancangan nak buka cawangan baru di Melaka. Cuma buat masa sekarang kami belum temui tarikh yang sesuai untuk majlis pelancaran," katanya.

Dalam pada itu, kata Zizan, dia sedar bahawa kebanyakan pelanggan mungkin mengunjungi kedai kerana dia seorang selebriti popular.

"Saya tak nafi ramai yang datang ke kedai kerana saya. Namun saya percaya sebenarnya orang datang kerana makanan yang disajikan di kedai. Kalau pun orang datang kerana saya, tak mengapalah, saya anggap itu satu perkara yang mendatangkan keuntungan dan kelebihan kerana sekurang-kurangnya mereka tahu itu kedai saya," katanya.

Menurut Zizan, dia kini dalam perancangan untuk membuka cawangan Burgerbyte di Kelangan, Terengganu dan Johor setelah melihat potensi untuk perniagaannya berkembang selain turut mendapat permintaan tinggi di tiga buah negeri itu.

Bahkan kata Zizan, ia juga sebahagian usahanya untuk membawa Burgerbyte sebagai satu jenama tempatan setanding jenama francais popular seperti McDonalds dan Kentucky Fried chicken (KFC).
Previous Post Next Post