Pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dia menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana ingin menambah pendapatan bagi membayar nafkah tertunggak kepada bekas isteri, Rita Rudaini.
Isu ini tercetus apabila Aidil menerusi akaun Instagramnya memuat naik fotonya di lokasi penggambaran bersama isterinya, Zarema.
"Tuduhan saya mahu tambah pendapatan kerana perlu membayar nafkah sangat mengarut. Saya terkejut apabila ada pihak yang sengaja mahu memanaskan isu.
"Sedangkan apa yang saya lakukan sekarang ini (berlakon) sekadar suka-suka. Tak ada kena mengena dengan nafkah. Gaji saya sebagai pemain bola sepak sahaja dah cukup untuk beri nafkah anak," ujarnya yang dipetik daripada sebuah portal berita.
Dalam pada itu, Aidil tidak memdedahkan secara terperinci mengenai watak yang dilakonkannya sama ada untuk drama atau filem. Namun, mengharapkan masyarakat dapat menantikan sidang media rasmi yang akan diadakan sedikit masa lagi.