Aiman dan Fathia Cinta direstui keluarga



AIMAN adalah tempat untuk Fathia meluahkan segala masalahnya.

JIKA dahulu mereka agak berahsia, kini tiada apa lagi yang mahu disorokkan selain cinta yang sedia dipamerkan. Bagi dua pelakon ini memang ada nada kelegaan bila mereka sudah mampu bercerita tentang hati dan perasaan sebenar.

Bagaimanapun meniti hari dalam kerjaya seni, Aiman Hakim Ridza, 26, dan kekasihnya Nur Fathia Latiff, 27, mahu kerjaya mereka lebih diberi perhatian. Tidak menolak semakin bahagia, namun itu bukan petanda bahawa hubungan mereka bakal beransur ke fasa perkahwinan.

Bercerita tentang kerjaya, dilihat dunia lakonan Fathia lebih menyerlah daripada Aiman. Bagaimanapun kelebihan itu nampaknya tidak mudah buat Fathia apabila dia kini dilabel artis bermasalah. Satu demi satu isu diperdengarkan, namun populariti pelakon cantik ini kekal.






Bagi Fathia sendiri , setelah bertahun menapak, dia tahu ini merupakan harga yang perlu dibayar dirinya.

Menolak cinta sebagai punca dia terus dilanda permasalahan ini, jelas Fathia, sesungguhnya kehadiran Aiman sedikit membantu dirinya dalam melalui waktu sukar.

"Pada mulanya saya dihambat perasaan takut. Apabila kita tidak buat apa, tetapi tetap dipersalahkan secara automatik benda itu tetap memberi kesan kepada saya.

"Lama juga saya mahu bina keyakinan diri, namun apa yang terus menguatkan saya adalah peminat. Mereka buat saya percaya dalam industri ini tidak semuanya manis namun mempunyai peminat setia adalah jawapan kepada persoalan itu," katanya.

Bukan sekali dua dia dikatakan mempunyai masalah, malah sudah beberapa kali kisah ini timbul.

Bagi Fathia, jika terlalu kecewa, pastinya dia sudah memilih kerjaya lain. Namun dia percaya berhadapan dengan masalah lebih baik dari melarikan diri.

"Saya tidak percaya bahawa diri saya adalah seorang yang sempurna. Sebab itu saya kutip setiap pengajaran itu sebagai pengalaman.

"Dalam dunia ini kita diberi dengan pelbagai pilihan. Saya sudah menetapkan pilihan itu.

"Tiada sebab untuk saya takut diadili manusia lain, memandangkan saya tahu yang saya jujur dengan diri saya," katanya.

Berbekalkan wajah kacukan Arab-Melayu, ternyata keindahan wajah wanita ini mudah menggamit perhatian.

Namun benarkah dek kerana kelebihan ini dia juga menjadi sasaran hasad dengki?

Percaya bahawa semua manusia mempunyai hati yang bersih, jelas Fathia, fokusnya kini adalah mencari keseimbangan diri.

"Bagi saya sama ada memang ada orang sebegitu ia bukan suatu masalah buat saya. Jujur saya masih lagi belajar. Mana boleh saya berjanji yang tiada kesilapan dalam waktu sekarang dan masa depan.

"Saya akan kekal di sini berkongsi bakat. Hanya peminat sahaja yang mampu mengatur perjalanan saya dalam dunia seni ini," katanya.

Cinta tambah masalah?

Khabarnya akibat terlalu mabuk cinta kini, Fathia bagaikan hilang arah dalam kerjaya lakonan. Hebat juga penangan kasih si Aiman buat Fathia sehingga menyebabkan pelakon wanita ini kini terus angau. Hanya ketawa mendengar telahan itu, Fathia menjelaskan cinta bukan sebab dia terus dilanda kontroversi kini.

"Bagi saya, adalah sesuatu yang normal untuk seorang wanita berkawan dengan lelaki pilihan hatinya. Saya adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan.

"Bila ada yang menyalahkan hubungan ini sebagai penyebab saya berada dalam masalah ini, saya hanya mahu ketawa. Kami berdua mempunyai kerjaya yang sama jadi visi kami juga tidak jauh berbeza, bagaimana pula Aiman boleh dikatakan menjadi penyebab saya bermasalah," jelasnya.

Bercerita tentang kelebihan kekasihnya itu, ada sesuatu mengenai Aiman membuatkan dirinya sentiasa bersyukur.

Jelas Fathia, kesediaan Aiman untuk mendengar rintihan hatinya setiap kali melalui kejadian yang sama membuatkan dia percaya kekasihnya itu lebih kepada seorang rakan yang prihatin.

"Kesediaan Aiman menerima saya seadanya membuatkan saya selesa dengan dia. Sejak awal lagi sebelum berkenalan, dia sudah mendengar kisah yang sama. Antara sebab dia menerima saya apabila dia yakin saya bukan seperti yang diperkatakan.

"Bila melalui perkara ini dengan dia semuanya jadi sedikit mudah, mungkin dia juga berada dalam industri yang sama. Jadi bila saya terangkan dia faham dan tidak terus salahkan saya," katanya.

Tidak dinafikan keterbukaan mereka kini sedikit mengurangkan prasangka. Jelas Fathia bukan niatnya untuk merahsiakan hubungan ini di awal perkenalan mereka. Mahu semuanya stabil, kini Fathia percaya Aiman adalah lelaki pilihan.

"Di awal perkenalan juga kami memang tidak mahu gembar-gemburkan. Bukan niat kami merahsiakan apa-apa cuma lebih senang bila semuanya sudah pasti jadi mudah untuk menjawab apa-apa soalan.

"Sehingga ke saat ini kami belum fikir untuk bertunang atau berkahwin sekali pun. Saya masih perlu menghabiskan pengajian saya dalam bidang Undang-Undang. Tetapi jujur saya katakan sebagai wanita tentu sahaja saya mahu mempunyai sebuah keluarga, cuma waktunya itu belum tentu,"katanya.

Aiman lindungi kekasih

Pelik apabila sekian lama Fathia dihujani kontroversi Aiman setia di sisi. Tanpa goyah mahupun melarikan diri, jelas Aiman, perkenalannya dengan Fathia mengubah pandangan sebenar dirinya terhadap wanita itu. Bukan tidak mahu percaya atau lebih tepat lagi buta kerana cinta, ulas Aiman dia mengenali siapa wanita di sebalik nama Fathia itu.

"Bila ada sahaja kontroversi, dia akan jelaskan kepada saya. Mengambil kira kedudukannya sebagai artis saya tahu bukan mudah untuk menangkis fitnah.

"Setelah hampir dua tahun mengenali Fathia saya selesa dengan dia. Namun itu tidak bermakna saya tidak mengambil kira soal lain. Jika ada yang perlu saya tegur saya akan beritahu dia, dan Fathia sebenarnya seorang yang mudah menerima teguran," katanya.

Bila dia diasak kontroversi yang sama kadangkala dia tahu ada perkara yang perlu persoalkan kepada Fathia.

Tidak menolak mereka berdua masih muda dalam semua hal, dia tidak nafikan kesilapan akan sentiasa berlaku.

Namun bagi Aiman sendiri bila dituduh dengan sesuatu yang tidak berlaku juga sedikit sebanyak mampu memudaratkan semangat seseorang.

"Bila ada sesuatu yang mengganggu dirinya dia akan segera bercerita. Bukan dia mahu meminta simpati tetapi lebih kepada memohon bantuan dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

"Sebagai perempuan Fathia juga tidak lari daripada dilanda perasaan panik kalau melibatkan hal-hal kontroversi.

"Namun satu kelebihan dirinya apabila dia mempunyai sikap yang tenang sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Kecantikan Fathia tidak dapat dinafikan mana-mana lelaki, malah Aiman sendiri juga mengakui kekasihnya itu menawan. Bagaimanapun bersikap profesional, Aiman tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan dengan alasan cemburu.

"Sebagai wanita yang datang dari keluarga yang baik, Fathia bukan sahaja tahu batas yang perlu dijaga. Tetapi dia sudah diajar untuk menghormati dirinya sendiri. Dalam bab itu saya tidak perlu risau memandangkan dia lebih faham keperluan dirinya untuk menjaga maruah diri dan keluarga ketika ini," katanya.
Previous Post Next Post