Meskipun sudah memiliki bentuk badan yang ideal, tetapi lagenda rock terkenal, Amy Search dan bintang Akademi Fantasia, Akim Ahmad tetap mahu tampil lebih kurus.
Akim yang ditemui ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 baru-baru ini telah memeranjatkan ramai pihak apabila dia kelihatan sangat kurus berbanding bentuk badannya sebelum ini.
Apabila ditanya bagaimana fizikal badannya kelihatan cukup kurus, kekasih kepada penyanyi Stacy itu berkata semuanya berlaku kerana dia begitu aktif bermain bola sepak sejak beberapa bulan lalu.
“Kalau nak kurus macam saya, jomlah main bola. Saya selesa dengan berat badan saya sekarang iaitu 60 kilogram buat masa sekarang,” katanya yang tidak bercadang untuk menaikan berat badannya.
Berlainan pula dengan penyanyi rock pujaan ramai, Amy Search apabila dia lebih percaya dengan pengambilan makanan seimbang selain mendapatkan rawatan pembuang lemak secara insentif.
Ditemui ketika pelancaran produk pembakar lemak Vanquish di Pusat Kecantikan Ko, Klang petang semalam, Amy Search berkata dia mendapatkan rawatan itu sebanyak dua sesi dan kesan yang terhasil amat menggalakkan.
“Berat badan saya meningkat kepada 57 kilogram baru-baru ini, sedangkan berat badan ideal buat saya ialah 52 kilogram.
“Jadi atas nasihat isteri saya, dia telah memperkenalkan saya dengan Vanquish iaitu mesin pembakar lemak yang langsung tidak menyakitkan dan Alhamdulillah ianya telah menampakkan hasil, sehingga six packs saya dapat kelihatan.
“Apa yang dapat saya lihat, selepas saja mendapatkan rawatan Vanquish, perut saya yang buncit telah berkurangan dan saya akan menjalani sesi rawatannya beberapa sesi lagi,” katanya yang bakal menghasilkan album single terbarunya tidak lama lagi.
Menurut Amy Search, bukan niatnya untuk kurus tetapi apa yang menjadi perhatiannya iaitu keadaan perut buncit yang disifatkannya perlu dikurangkan bagi mengelakkan daripada sebarang penyakit.