Walaupun sedang sarat hamil, ia bagaimanapun tidak menghalang pelakon komedi popular, Didie Alias untuk hadir ke majlis pertunjukan fesyen Lebaran AQSA yang diadakan di Black Box, Publika malam tadi.
Didie Alias yang tampil dengan persalinan harimau kumbang dan boot tinggi berkilau, telah sama-sama menjayakan majlis berkenaan bagi meraikan empat pereka fesyen iaitu Allya Mysara, Qudyn, Saiful Sin dan Azura Couture bersama koleksi sempena Syawal rekaan masing-masing.
Sebagai selebriti popular, Didie Alias telah diberi penghormatan duduk di tempat paling hadapan pada majlis berkenaan untuk menyaksikan satu persatu persalinan indah daripada empat pereka fesyen berkenaan.
Ditemui sebelum acara bermula, Didie Alias berkata kemunculannya pada hari berkenaan adalah untuk memberikan sokongan padu kepada empat pereka fesyen berkenaan.
Tidak keseorangan, Didie Alias telah ditemani suami tercinta ke majlis berkenaan bagaimanapun suaminya memilih untuk duduk di luar menunggu sehingga majlis berkenaan selesai.
“Itulah dalam pada saya sedang sarat mengandung ini semakin banyak pula undangan yang saya terima. Tapi selepas 16 Jun ini, saya tidak akan terbabit dengan mana-mana undangan atau penggambaran lagi kerana menunggu hari untuk melahirkan.
“Malah selepas inipun, saya akan terbabit dengan penggambaran sebuah program terbitan Astro selama dua hari dan rasanya selepas itu saya akan berhenti sehinggalah kandungan saya ini lahir dengan selamat,” katanya dengan senyuman.
Didie Alias berkata, agak sukar untuknya berkata tidak dengan sebarang tawaran yang datang kepadanya, bagaimanapun selepas 16 Jun ini semuanya terpaksa dihentikan.
Malah dia sedar, dengan keadaannya yang berbadan dua, dia tidak mampu lagi untuk menyarungkan tumit tinggi dan oleh kerana itu dia telah memilih kasut tanpa tumit atau sebarang sepatu yang selesa untuk dia bergerak ke mana-mana saja.