Selepas tampil dengan koleksi baju kurung moden di bawah label Newrules Collection, penyanyi popular Nurul Depp tampil pula dengan koleksi tumit tinggi atau stiletto yang menggunakan label serupa.
Dijual pada harga serendah RM130, koleksi tumit tinggi rekaan Nurul Depp itu cukup istimewa kerana tampil dalam pelbagai warna pilihan dan fabrik suede dan juga sutera satin gabungan plastik lutsinar yang dikatakan cukup selesa.
Meskipun baru sahaja dilancarkan, tumit tinggi Nurul Depp itu telahpun mendapat sambutan menggalakan daripada kebanyakan peminat kasut tumit tinggi dan tidak ketinggalan artis popular tanah air.
Antara selebriti yang sudah mendapatkan tumit tinggi rekaan Nurul Depp iaitu teman baiknya, Ning Baizura dan tidak ketinggalan penyanyi yang bakal melahirkan anak, Noryn Aziz.
Malah Ning Baizura telah menggayakan tumit tinggi ciptaan Nurul Depp ketika menghadiri majlis pembukaan butik terbaru, pereka fesyen duo terkenal, Rizman Ruzaini baru-baru ini.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Nurul Depp secara ringkas berpuas hati kerana akhirnya impian untuk melahirkan tumit tinggi daripada rekaannya sendiri telah terlaksana.
“Wanita mana yang tidak sukakan kasut tumit tinggi. Begitu juga dengan saya dan kerana saya sedar ramai wanita di luar sana yang sukakannya jadi saya lahirkan koleksi tumit tinggi yang direka istimewa oleh saya sendiri.
“Ini adalah sebagai permulaan sahaja dan InsyaAllah sekiranya semuanya berjalan lancar, lebih banyak rekaan tumit tinggi yang akan saya lancarkan tidak lama lagi,” katanya yang sentiasa aktif dengan pelbagai jenis perniagaan sejak berbadan dua lagi.
Terdapat dalam pelbagai saiz dan pilihan warna, Nurul Depp menggunakan medium laman sosial seperti Instagram miliknya untuk mempromosikan stiletto rekaannya itu dan dijual secara online.