Kantoi Bila Baju Sherry Ibrahim & Azura Sama



Laluan karpet merah Anugerah Stail EH! yang berlangsung baru-baru ini telah bertambah ceria apabila dua figura yang sangat sinonim dalam dunia hiburan dan fesyen kerana masing-masing menggayakan persalinan serupa.

Pelakon, Sherry Ibrahim dan pereka fesyen Azura Mazaruddin telah memilih top berbelang yang sama dan digayakan gaun kembang pendek tema serupa walaupun berlainan warna.

Bukan sesuatu yang dirancang, sebaliknya mereka secara tidak sengaja telah menggayakan persalinan serupa dan telah bertemu pada majlis yang dihadiri ramai selebriti popular serta pengamal fesyen tanah air itu.

Sherry Ibrahim dan Azura yang ditemui portal ARTISMELETOP pada majlis berkenaan berkata, mereka langsung tidak menjangka akan terjadi insiden seperti itu, apatah lagi pada acara penuh glamor demikian.

Namun mereka akur, perkara sedemikian pastinya akan berlaku kepada sesiapa sahaja dan mahu atau tidak, mereka perlu melangkah dengan penuh yakin walaupun ramai yang memerhatikan penampilan mereka itu.






“Saya sama sekali tak menyangka sebab saya rasa persalinan yang saya pilih ini memang bertepatan sekali dengan tema acara pada hari ini.

“Mungkin kami mempunyai citarasa fesyen yang sama. Inilah fesyen keluar dari penjara,” kata Sherry Ibrahim ringkas sambil ketawa kecil.

Sementara itu pereka fesyen Azura berkata, apa yang membuatkan dia tidak percaya apabila cara penggayaan penampilannya dengan Sherry Ibrahim turut menampakkan persamaan.

“Bukan saja baju dan skirt kami yang sama, tapi cuba tengok pemilihan anting-anting kami. Bukankah sama?,” katanya tergelak besar.

Namun apa yang pasti, baik Sherry Ibrahim mahupun Azura, masing-masing telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada portal ARTISMELETOP ketika diminta untuk merakamkan gambar mereka berdua.
Previous Post Next Post