Setelah penafian demi penafian, Hefny Sahad akhirnya tampil membuat pengakuan yang dia kini sedang menjalinkan hubungan lebih daripada seorang kawan dengan pelakon Nad Zainal. Pendedahan itu dibuat oleh Hefny menerusi program hiburan hlive! di saluran Astro Ria pada jam 1.00 tengahari tadi.
Bagaimanapun, Hefny sekali lagi menegaskan dia bukanlah orang ketiga ataupun punca kepada keretakan hubungan Nad Zainal dan Azwan Kombos.
“Perkara ini sudah pun dijelaskan oleh Nad bahawa saya bukan punca keretakkan hubungan mereka. Namun mungkin kerana kemunculan saya di saat perpisahan mereka yang menyebabkan ramai pihak Salah faham. Nad sendiri sudah memberitahu saya yang dia sudah single dan hanya selepas itu, barulah kami menjadi lebih rapat.
Pengakuan saya ini dibuat setelah berbincang dengan Nad yang kini sedang berada di Korea. Kami berpendapat yang tiada apa-apa yang perlu disorokkan kerana perkara ini adalah perkara yang betul,” ujar Hefny ketika ditemubual oleh hlive!
Tambah Hefny lagi, walaupun mereka baru sahaja mengenali hati budi masing-masing, namun mereka juga pernah bercakap tentang perkahwinan.
“Kami ada bercakap tentang kahwin, namun bukanlah secara mendalam. Saya sudah pun berumur 27 tahun dan tiada masa untuk main-main lagi. Saya tidak menolak kemungkinan jika kami ada jodoh,”ujar Hefny lagi.
Hefny dan Nad mula berkenalan ketika pembabitan mereka dalam telefilem 'Mengintai Syurga Mama' terbitan Zeel Production. Mereka mula rapat apabila hubungan cinta Nad dan Azwan yang terjalin selama tiga tahun lima bulan itu putus ditengah jalan.