Belum pun sempat single duetnya dengan penyanyi Indonesia, Gusti Aria dilancarkan, pelakon yang cuba berjinak-jinak dalam dunia nyanyian, Sherry Ibrahim sudah pun menghadapi masalah dengan single terbabit.
Menurut Sherry, biarpun proses rakaman sudah selesai, namun sehingga kini single berjudul ‘Flirting’ itu tidak dapat dilancarkan atau dipromosikan kerana dia berhadapan dengan masalah hak cipta. Ini kerana lagu terbabit telah dirakam semula oleh Gusti Aria di Indonesia dengan berduet dengan Nikita Mirzani.
“Saya sudah pun selesai merakamkan lagu terbabit pada penghujung tahun lalu. Tetapi belum sempat buat promosi dan edarkan pada stesen-stesen radio, pihak pengurusan saya mendapat tahu dia telah rakamkan lagu yang sama dengan Nikita Mirzani untuk pasaran Indonesia. Jadi, kita terpaksa tunggu dulu sebab kena selesaikan beberapa perkara,” ujar Sherry membuka cerita.
Sementara itu, menurut wakil pihak pengurusan Sherry, Afiq, pihaknya terpaksa menggunakan khidmad peguam untuk menyelesaikan isu hak cipta lagu terbabit. Ini kerana mengikut perjanjian asal, Gusti atau pencipta lagu terbabit iaitu DJ Bayu tidak boleh merakam semula lagu itu dalam tempoh terdekat.
“Apabila kita mendapat tahu Gusti telah rakam semula ‘Flirting’ di Indonesia, kita juga terkejut sebab dia langsung tidak buat sebarang perubahan pada lagu itu. Cara nyanyian dan susunan muzik semuanya sama. Jadi, kita pun pelik kenapa Gusti berbuat demikian. Mungkin dia tidak yakin lagu itu akan dapat sambutan di sini. Sekarang pihak peguam kami sedang berbincang untuk mendapatkan hak kami. Apa-apa pun kena tunggu semuanya selesai,” ujar Afiq yang merupakan orang kuat Laugh Out Loud Entertainment yang menaungi beberapa lagi artis lain seperti Dafi, Rozita Che Wan, Marsha Milan dan Sabhi Saddi.
Biarpun terpaksa berdepan dengan halangan, Sherry memberitahu dia langsung tidak berasa kecewa apatah melupakan hasratnya untuk bergelar penyanyi. Jelas wanita berusia 31 tahun ini, dia tidak kisah menunggu.
“Seperti yang pernah saya jelaskan dulu, menyanyi ini adalah minat sampingan. Lakonan adalah keutamaan saya. Saya tak kisah menunggu sehingga semuanya selesai. Selain itu saya juga sudah selesai merakamkan tiga buah lagu untuk single. Bagaimanapun, saya dan pihak pengurusan masih berbincang untuk memilih lagu yang mana untuk diperkenalkan dahulu. Ketiga-tiga lagu ini berentak Pop Balada,” ujar Sherry yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri 80 episod berjudul ‘Cinta Ibadah’.