Anding merajuk dalam industri?



WALAUPUN bintang Akademi Fantasia 2, Anding Indrawani pernah dikatakan 'menjaja' badan, namun bintang program realiti TV tidak mahu mengendahkan cakap-cakap orang.

Enggan dikatakan sengaja mengeksploitasi susuk badannya yang kelihatan sasa, pelakon ini meminta masyarakat berhenti untuk melabelnya begitu.

Malah, Anding yang ingin menjadi idola kesihatan kepada remaja ini baharu sahaja menjalankan perniagaan berkonsepkan 'fitness'.

“Ia dipanggil Ruffntuffing bersama Anding. Sekarang mungkin terlalu awal untuk saya kongsikan pengisian perniagaan ini.

"Tapi apa yang boleh saya ceritakan ia adalah ianya pasti menjadi pilihan mereka yang sukakan fitness sahaja,” katanya.

Menyedari mempunyai persaingan, Anding berkata ia merupakan perkara biasa, namun apa yang mahu dia lakukan adalah perkara baru yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana selebriti.

Menurut Anding ia juga memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan tubuh badan.






Jaga ayah sakit

Dalam pada itu, Anding turut mengakui walaupun dia turut sibuk dalam mengacara program travelog dan bintang kecil di RTM untuk beberapa musim, sekarang ini dia juga sedang menjaga ayahnya yang sakit.

Walaupun sering berulang ke kampung halamannya di Sarawak, namun pelakon dan penyanyi ini mengakui masih aktif dalam dunia hiburan seni tanah air.

“Sekarang saya sedang mengalami saat genting kerana sedang menjaga ayah saya yang sedang sakit.

“Walau begitu, saya masih mampu menerima tawaran yang diberikan dan tidak menolaknya kerana saya percaya itu semua rezeki,” katanya.

Meskipun mengakui masih belum menjadi popular setanding dengan bintang yang ada hari ini, namun dia tidak pernah tawar hati dengan industri ini malah, akan terus berusaha kerana meminati bidang ini.

“Walaupun saya tak boleh beri komitmen sepenuhnya kepada dunia lakonan, namun saya sangat gembira apabila dengan apa yang saya buat sekarang. Selagi ALLAH SWT memberikan saya rezeki dalam bidang ini saya akan teruskan”, ujarnya.


Belum sedia 'diikat'

Ditebak mengenai perkahwinan, Anding tidak mahu menyasarkan umur untuk berkahwin. Baginya, perkara itu terserah kepada jodoh.

“Saya tak ada 'target' untuk kahwin sebab tak nak stress. Kalau ada jodoh, ada lah, pada saya perkahwinan tak boleh buat suka-suka.

"Saya melihat ramai kawan-kawan yang kahwin sebab ‘tak sabar nak kawin’ tanpa memikirkan impak yang akan datang. Pada saya cepat atau lambat semuanya kuasa ALLAH SWT.

“Sekarang pula ayah saya sedang sakit. Jadi sekarang saya memang sibuk ulang alik Kuala Lumpur ke Kuching. Jadi soal jodoh, memang saya tolak tepi dulu. Kerjaya dan keluarga dan diri saya menjadi keutamaan,” katanya.
Previous Post Next Post