BAGI terus mengukuhkan kedudukan di negara ini. Astro terus menawarkan program 'infotainment' terbaharu, hlive! yang memberi liputan komprehensif daripada pelbagai sisi melalui platform Tonton, Dengar dan Baca.
Uniknya, dengan rangka strategi 360 darjah yang disusun rapi, Astro menerusi kelebihan barisan jentera promosinya merangkumi penyiaran secara 'on air', laman portal, penerbitan digital, acara jelajah atau lapangan dan radio.
Tidak cukup setakat itu, hlive! juga dapat dinikmati dengan pantas pada bila-bila masa dan di mana saja mengikut keselesaan masing-masing menerusi perkhidmatan aplikasi dan perkhidmatan Astro On-The Go.
Bahkan, melalui platform tersebut, pengisian hlive! juga diselaraskan merangkumi sumber dan inti pati kandungan jenama hiburan Melayu Astro iaitu Astro Ria, Astro Awani, Era FM, Sinar FM, In Trend, Astro Gempak, MeleTOP, Studio H dan Murai.
Selain itu, hlive! turut menjalinkan kerjasama dengan E! News dalam membawakan liputan berita antarabangsa secara eksklusif.
Bagi menceritakan lebih lanjut, Naib Pengerusi Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh sedia berkongsi dengan pembaca Zass mengenai penawaran terbaharu daripada Astro ini.
Apakah matlamat utama program terbaharu, hlive ini?
Selaku sebuah Saluran Hiburan Melayu Utama, matlamat kami adalah untuk menjadikan program hiburan Infortainment, hlive! sebagai pilihan utama masyarakat di negara ini yang dahagakan liputan berita eksklusif paling terkini dan sensasi mengenai dunia hiburan.
Ia sejajar dengan matlamat Astro dalam menjadi peneraju kandungan tempatan dan pusat informasi lengkap yang berpengaruh. Kami berazam untuk terus menawarkan pengisian terbaik dan berkualiti tinggi dan relevan seiring dengan keperluan gaya hidup pelanggan.
Bagaimanakah dengan susunan rangkaian penyampaian kandungan?
Kami amat menitikberatkan susunan rangkaian penyampaian kandungan yang telah diseragamkan dengan teliti menerusi platform Tonton, Dengar dan Baca. Keseragaman kandungan di kesemua platform ini amat penting bagi memastikan setiap rangkaian liputan berita hiburan dikupas dengan penuh komprehensif daripada pelbagai sudut yang berbeza untuk disampaikan kepada penonton.
Pengisian yang ditawarkan ini juga akan diperhebat lagi dari semasa ke semasa agar kandungan yang ditawarkan seiring dengan peredaran masa dan permintaan kelompok penonton sasaran. Kami juga amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan E! News selaku rakan pengisian untuk kandungan berita antarabangsa serta sokongan yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat bagi menjayakan penerbitan program ini.
Apakah program yang diperkenal menerusi platform Tonton?
Terdapat dua program menarik yang diperkenalkan menerusi platform Tonton iaitu hlive! dan hlive! Apa Kata Malaysia. Program hlive! Apa Kata Malaysia diterajui oleh Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai pengacara dan bakal bersiaran secara langsung pada setiap Ahad, jam 8.30 malam bermula 25 Mei lalu, manakala program hlive! pula akan bersiaran secara langsung sebanyak dua kali sehari pada setiap Isnin hingga Sabtu, jam 1.00 petang dan 8.30 malam bermula 26 Mei ini secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan serentak di Maya HD (saluran 135). Program hlive! pula dikemudikan oleh empat pengacara baharu berbakat besar iaitu Dahlia Shazwan, Ahmad Nabil Ahmad Mahir, Shalma Ainaa Bruhanuthen, dan Muhammad Alif Farhan Abd. Jalil.
Bagaimana pula bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan Astro On-The-Go?
Penonton juga ada pilihan untuk menonton kedua-dua program ini menerusi perkhidmatan Astro On-The-Go menerusi peranti tablet, telefon pintar atau pun komputer.
Bagaimanakah dengan pemilihan pengacara?
Pemilihan Dahlia, Ahmad Nabil, Shalma Ainaa dan Muhammad Alif sebagai pengacara program hlive! dilihat amat bersesuaian berdasarkan kepada karakter mereka yang bersahaja dan menarik sekali gus menepati konsep dan penonton sasaran.
Biarpun mereka masih baharu, kami percaya mereka mampu untuk mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gaya keunikan mereka yang tersendiri sekali gus memikat hati penonton agar terus melekat di kaca TV.
Apakah segmen menarik yang disediakan?
Antara segmen menarik yang boleh ditonton menerusi hlive! termasuklah segmen Tweet Nakal, 15 Soalan, Di Sebalik…, Fakta Atau Propa, Pilihan H serta banyak lagi.
Apakah pula program yang diperkenalkan menerusi platform Dengar dan Baca?
Melalui platform Dengar pula, penonton boleh mendapatkan berita, liputan terkini, temu bual eksklusif serta banyak lagi mengenai pengisian hlive! di stesen radio Era FM dan Sinar FM.
Menerusi platform Baca pula, Astro turut memperkenalkan aplikasi Studio H iaitu majalah dalam bentuk digital yang interaktif dan boleh dimuat turun oleh orang ramai secara percuma di Apple Store dan Play Store bagi pengguna Android.
Ada cara lain untuk mengetahui mengenai program hlive! ini?
Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan galeri gambar, sedutan klip video, liputan berita hiburan serta informasi terkini dan banyak lagi mengenai program hlive! menerusi laman sesawang rasmi di www.hlive.com.my atau pun mengikuti akaun rasmi di laman sosial Twitter, Instagram dan Facebook di officialhlive.