Atikah Suhaime cari kekasih Malaysia



ATIKAH lebih sinonim dengan watak sebagai perempuan remaja dalam kebanyakan naskhah lakonannya.

PELUANG ada di mana-mana, jika bukan di tempat sendiri, mungkin di negara orang. Begitu juga yang dirasai pelakon kelahiran Tempines, Singapura, Atikah Suhaime yang kini mengintai nama dalam industri hiburan di negara ini.

Bernaung bawah syarikat produksi MIG sejak setahun yang lalu, Atikah memberitahu dia berasa bertuah apabila diberikan peluang untuk mengasah bakat lakonan di Malaysia.

Pelakon filem Lagenda Budak Hostel itu berkata, keputusan untuk melebarkan sayapnya ke negara ini dibuat selepas melihat potensi untuknya terbuka luas.






"Saya sudah berlakon beberapa buah drama di Singapura terlebih dahulu, tetapi industri lakonan di sana tidak sebesar di sini.

"Lagipun, di Singapura, siaran televisyen Melayu hanya di saluran Suria," ujar pelakon berusia 23 tahun itu.

Sungguhpun terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi mengikuti penggambaran, Atikah menganggap itu sebahagian daripada cabaran untuk bergelar pelakon.

"Jika saya ada penggambaran, saya akan ke Malaysia, tetapi selalunya saya ada di Singapura," ujar pelakon yang pernah membintangi drama Dewi Lasak itu.

Ujar Atikah, apa yang lebih penting sekarang ini dia mahu menimba sebanyak mungkin ilmu lakonan di negara ini.

"Biarpun saya banyak memegang watak tambahan sahaja, bagi saya itu sudah cukup memberikan saya satu pengalaman baharu. Ini kerana setiap naskhah itu wataknya berbeza-beza.

"Dari situ, saya sudah boleh belajar banyak perkara," tutur graduan Diploma Komunikasi Media di Politeknik Singapura itu.

Menyentuh mengenai perjalanannya sebagai anak seni di negara jiran, anak kedua daripada tiga beradik itu sedar, langkahnya masih lagi panjang. Banyak perkara yang perlu ditangguk demi mengisi pengalaman.

Atas sebab itu jugalah, Atikah tidak kisah jika sesuatu naskhah yang menampilkan bakat lakonannya tidak berjaya mendapat tempat di hati penonton.

"Saya berpegang pada prinsip kesabaran pasti akan terbalas. Apa yang penting, saya percaya dalam banyak benda yang kita buat, mesti akan ada satu yang menjadi. Begitu juga dengan drama atau filem. Satu tak berjaya, tak bermaksud kita perlu berputus asa," ujar pelakon filem Highland Tower itu lagi.

Bercakap mengenai watak yang sering dibawa, kongsi Atikah, dia kerap kali ditawarkan dengan watak yang memperlihatkan dirinya sebagai seorang remaja.

"Watak budak sekolah, budak kolej, itu yang biasa saya bawakan. Mungkin watak itu dilihat bersesuaian dengan imej saya seperti seorang remaja.

"Tetapi jika diberi peluang saya mahu bawa watak romantis yang ada babak-babak yang mampu membuatkan orang menangis," katanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai eksekutif pengiklanan di Kota Singa sebelum menjadi pelakon.

Diajak bercerita tentang cinta, pelakon yang mengagumi aktres Maya Karin itu memberitahu, di hatinya belum bertapak jejaka istimewa. Fokusnya biarlah kepada kerjayanya terlebih dahulu.

"Ramai juga yang cuba mahu mendekati saya. Buat masa sekarang, saya tidak mahu lagi fikir sangat pasal lelaki. Bagi saya, apabila saya dah boleh berdiri atas diri sendiri baru saya fikir tentang itu.

"Tetapi kalau boleh, nanti saya nak cari orang (calon suami) sini. Ada perancangan juga nak duduk di sini sebab saya sendiri mencari rezeki di Malaysia," tuturnya mengakhiri bicara.
Previous Post Next Post