Azwan Kombos. Gambar kecil: Nad Zainal
“PEREMPUAN yang disebut itu tidak ada kena mengena dengan saya. Saya tidak tahu kewujudan perempuan itu. Apa yang dia cakap, apa yang dia buat, saya memang langsung tidak tahu!,” tegas pelakon Azwan Kombos yang didakwa mengganggu bekas teman wanitanya, Nad Zainal sehingga laporan polis dilakukan kelmarin.
Menurut sebuah laporan akhbar tempatan, semalam, Nad dikatakan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, awal pagi kelmarin, namun tidak mahu mendedahkan butiran atau maklumat lanjut tentang isi laporan terhadap bekas teman lelakinya itu.
Pelakon Kampung Girl itu turut mendakwa menerima tiga panggilan berbaur negatif daripada seorang wanita yang tidak dikenali.
Menafikan dakwaan tersebut, Azwan memberitahu tidak ada sebab untuk dirinya mencari atau menghubungi Nad kerana menganggap masing-masing telah memiliki kehidupan sendiri.
“Tak ada istilah saya ganggu dia kerana saya tidak pernah menghubunginya. Lagi pun saya sudah memadam nombor telefon dia.
“Saya memang tidak ganggu dia. Dia sudah pilih kehidupannya sendiri dengan teman lelakinya dan tidak ada sebab untuk saya ganggu dia.
“Saya ini lelaki dan kalau betullah saya berkelakuan seperti itu, malulah saya. Saya juga ada maruah yang perlu dijaga,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Azwan menjelaskan dia telah menerima semua yang berlaku terhadap perhubungannya sebelum ini dan tidak mahu dikaitkan lagi dengan bekas teman wanitanya itu.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya sudah ‘move on’ dan mahu lupakan semua yang telah berlaku sebelum ini.
“Sudah-sudahlah, saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan dia. Biarlah saya dengan hidup saya sendiri dan dengan hidup dia,” katanya mengakhiri perbualan.