Sebuah akhbar tempatan melaporkan pelakon, Nad Zainal telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang terhadap bekas teman lelakinya, Azwan Kombos. Mengulas mengenai isu tersebut, Azwan mengakui terkejut serta sudah jelak dikaitkan dengan isu percintaan dengan Nad.
“Saya sebenarnya dah penat nak bercakap mengenai hal ini kerana sudah berlanjutan selama dua bulan. Saya seorang lelaki, jadi kalau orang dah tinggalkan kita kenapa kita nak terhegeh-hegeh dengan dia lagi?
Saya sudah tidak mencari Nad selepas beberapa hari berpisah serta telah memadam nombor telefon dia. Bagi saya perkara ini melibatkan polis, jadi saya enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan saya untuk menyelesaikan perkara ini,” ujar Azwan ketika dihubungi ARTISMELETOP sebentar tadi.
Menurut Azwan, mereka ada berkomunikasi membincangkan perkara yang tidak penting, namun dia enggan menerangkan butir lanjut atas alasan terlalu peribadi. Namun, tidak pernah timbul isu yang mana dia menganggu Nad kerana perkara tersebut sama sekali tidak benar.
“Saya pernah membuat kenyataan yang saya ingin 'move on' dan tidak ingin lagi dikaitkan dengan Nad. Saya ingin membina kerjaya sebagai seorang pelakon dan mahu ruang hidup sendiri, jadi memang saya agak penat apabila isu sebegini pula timbul.
Secara peribadinya, jika saya bukan seorang pelakon pun, apabila cerita sebegini timbul dan diketahui umum pasti ia membuatkan saya malu. Buat masa ini lebih baik saya berdiam diri,” ujar Azwan mengakhiri perbualan.