Pelantun lagu ‘Kehilangan’, Firman Siagan menyimpan hasrat untuk menghasilkan album tribute untuk Seniman Agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Firman ingin menunjukkan rasa aprisiasinya terhadap P. Ramlee kerana dia meminati P. Ramlee sejak kecil lagi.
“Saya menyimpan hasrat untuk membikin satu album tribute kepada P. Ramlee sebagai tanda penghargaan saya kepadanya. Saya sangat teringin untuk membikin karya tribute dan juga konsert khas untuk P. Ramlee dengan cara saya tersendiri.
Semenjak kecil, saya sudah terbiasa dengan lagu-lagu dan filem lakonan P. Ramlee. Ayah saya mendedahkan saya dengan P. Ramlee semenjak usia saya kanak-kanak lagi. Ayah saya dodoikan saya tidur dengan lagu ‘Engkau Laksana Bulan’. Dia adalah seorang yang genius. Pada tahun 1960-an dahulu, dia mampu menyusun muzik dalam bentuk orkestra penuh dengan notasi yang sangat berat,” jelas Firman.
Pernah membawakan lagu-lagu P. Ramlee semasa persembahan nyanyian di beberapa buah daerah di Indonesia, pelantun lagu ‘Jangan Pikirin Abang’ ini mendedahkan dia mengambil masa selama dua bulan untuk mempelajari cara yang betul bagi menyanyikan lagu ‘Bunyi Gitar’.
“Saya juga pernah menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee di daerah seperti Riau, Kalimantan, Tanjung Balai, Batam dan beberapa daerah lain di Indonesia. Seperti di showcase malam ini, saya menyanyikan lagu ‘Engkau Laksana Bulan’ dan ‘Bunyi Gitar’. Saya ambil masa juga untuk belajar cara menyanyikan lagu P. Ramlee,” katanya ketika ditemui usai showcase pertamanya, ‘Exclusive: A Night With Firman in Kuala Lumpur’ di Hotel Seri Pacific.
Belum Berpuas Hati
Selepas ditunda dari tarikh asal pada 31 Mei yang lalu demi menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, showcase Firman telah berlangsung dengan jayanya pada malam Ahad lalu. Pelantun lagu ‘Rindu Serindu Rindunya’ ini melakukan persiapan selama sebulan.
“Syukur, akhirnya showcase saya berjalan lancar. Saya melakukan persiapan selama sebulan bagi persembahan malam ini. Bercakap soal kepuasan hati, sebagai manusia, memang tidak akan pernah merasa puas. Saya sangat berpuas hati dengan sistem bunyi, pencahayaan dan penonton yang datang ke showcase saya, tetapi melihat segi persembahan yang saya berikan sendiri kepada hadirin yang datang, ada ruang yang perlu saya baiki lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Selain lagu ‘Engkau Laksana Bulan’ dan ‘Bunyi Gitar’, Firman juga turut menyanyikan lagu-lagu hit nyanyiannya seperti ‘Kehilangan’, ‘Hatimu Batu’ dan single terbarunya, ‘Rindu Serindu Rindunya’.
Firman turut mengundang penyanyi yang mendapat jolokan Kajol Malaysia, Farawahida untuk berkolaborasi dengannya dalam lagu ‘Jangan Pikirin Abang’ dan ‘Budi Setahun Segunung Intan’. Farawahida juga tampil menghiburkan hadirin dengan lagu ‘Cintaku’ nyanyian asal Chrisye.