Memilih Hard Rock Café Kuala Lumpur sebagai lokasi showcasenya, Ella dilihat masih berbisa apabila mampu menarik ramai peminat bagi memenuhi segenap ruang. Ella berjaya membuatkan peminat-peminat tersenyum puas dalam tempoh satu jam persembahan dengan menyampaikan lagu-lagu popular.
Sebelum memulakan persembahan pada Ahad malam lalu, Ella sempat memohon maaf kepada peminatnya kerana kurang sihat. Biarpun begitu, GUA berpendapat tahap kesihatan Ella langsung tidak memberikan kesan kepada mutu persembahannya. Sebagai penyanyi profesional Ella bijak mengawal vokalnya agar tidak kedengaran sumbang. Paling penting, setiap lagu yang dipersembahkan sama-sama dinyanyikan oleh peminat.
Diiringi kumpulan Sparrow King, Ella menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Standing In The Eyes, Rama-rama, Permata Biru, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Rindu, Teristimewa, Sembilu, Istimewa, Dua Insan Bercinta, dan Kesal. Seleksi lagu-lagu ini ini ternyata berjaya mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan Ella suatu ketika dahulu.
Di samping itu, Ella turut menjemput Kid Search untuk turut sama beraksi bersama di atas pentas. Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin menyifatkan showcase tersebut sebagai ‘pemanas badan’ untuk konsert solonya akan datang.
Selain itu, showcase tersebut turut menampilkan anak saudara Ella iaitu Kaka Azraff membuat persembahan pembukaan menerusi lagu Terpulanglah. Dapat dilihat sedikit sebanyak pertalian darah antara Kaka dan Ella membawa persamaan di mana kedua-duanya mempunyai suara serak basah.
Kelab peminat Ella yang dikenali sebagai Ella USA juga memberikan sepenuh sokongan kepada Ratu Rock tersebut. Mereka mula memenuhi perkarangan Hard Rock Café seawal jam 6 petang lagi. Sebagai penghargaan, Ella turut menyediakan sebuah segmen selingan khas untuk menghargai sokongan peminat-peminat setianya. Bahkan, Ella turut memberikan cenderahati kepada mereka.