Dunia muzik Le Rumba



MUNGKIN muzik akustik jarang ditonjolkan dalam dunia seni tempatan, hakikatnya muzik ini telah lama berkembang dan menjadi pilihan sejak dulu lagi.

Malah, ia sering diketengahkan setiap kali penganjuran festival muzik peringkat kebangsaan atau antarabangsa di negara ini.

Namun tidak ramai memilih genre muzik sebegini, baik solo mahupun berkumpulan kerana merasakan ia agak ketinggalan zaman.






Berbeza pula dengan empat anak muda yang menggelari diri mereka sebagai Le Rumba yang dianggotai Hasbullah, 27, (percussion); Khairul,23, (gitaris), Nazreen,22, (bass) dan Ikhawan, 22, (gitar).

Empat anak muda ini memperjuangkan muzik akustik sejak enam tahun lalu. Mewakili rakan-rakannya, Khairul berkata, selain menyanyi dan bermain muzik, ahli kumpulannya itu turut mencipta hampir kesemua lagu mereka dalam album sulung, Satu.

"Saya mahu Le Rumba dikenali sebagai penghibur serba boleh dalam menghasilkan lagu daripada pelbagai genre.

"Biarlah kami agak lambat mencipta nama namun impian kami untuk membawa muzik akustik dengan lebih jauh," ujarnya.

Menyanyi di kaki lima

Bercerita mengenai pengalaman Le Rumba ketika memulakan perjalanan seni mereka beberapa tahun lalu, Khairul berkata, mereka pernah menyanyi di kaki lima, kafeteria dan premis hiburan.

"Kami tidak kisah asalkan dapat mencari rezeki secara halal. Bahkan berniaga di tepi jalan pun sanggup.

"Malah pengalaman 'menjaja' muzik di jalanan merupakan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan buat selama-lamanya," katanya.

Menurut Khairul, pengalaman sebegitu sebenarnya banyak membantu Le Rumba untuk menimba ilmu dan mematangkan diri masing-masing.

Jelasnya, bukan mudah bagi mereka untuk menempatkan diri sebaris dengan artis-artis lain dalam dunia seni kerana segalanya dilakukan sendiri.

"Berada di industri hiburan bukan semuanya indah, kami mengambil masa yang agak lama untuk dikenali sejak berusia 16 tahun lagi.

"Selepas beberapa tahun, barulah bakat kami diiktiraf selepas ditawarkan untuk bermain muzik di sebuah hotel," ujarnya.

Katanya, biarpun lambat namun mereka bersyukur kerana tawaran untuk mengadakan persembahan tidak pernah putus terutamanya di majlis makan malam korporat.






Hu Hu Satu

Selepas sekian lama terlibat dengan bidang muzik, mereka akhirnya merealisasikan impian menerbitkan album sulung yang berjudul Satu pada 2 Mei lalu.

Antara lagu yang dimuatkan seperti Hu Hu Satu, Ketawa, Terbanglah, Perjalanan, Bawakanlah Cinta dan Kata-Kata.

Khairul berkata, penghasilan album tersebut sebagai perkongsian bersama peminat mereka dan muzik yang ditampilkan berbeza penyanyi lain.

"Setelah Hu Hu Satu dilancarkan, lagu ini berjaya menduduki senarai teratas carta muzik Hot FM Zon 30 selama dua minggu.

"Begitu juga dengan Carta Galaksi Muzik FM yang sering memutarkan lagu ini di corong radio mereka," katanya.

Album diterbitkan Le Rumba Music itu memuatkan enam lagu pelbagai genre hasil ciptaan mereka sendiri dan masih mengekalkan konsep akustik dan vokal harmoni.
Previous Post Next Post