FILEM yang berkisarkan makhluk asing yang pada pandangan penulis, sudah terlalu klise bagi layar Hollywood.
Namun, Edge Of Tomorrow memberikan penontonnya sesuatu yang baharu dan menarik untuk ditonton.
Biarpun jalan ceritanya agak mustahil iaitu hidup dan mati berulang kali, namun apabila diletakkan dalam mood seperti dalam mimpi, ia membuatkan filem lakonan Tom Cruise, Emily Blunt, Bill Paxton, Kick Gurry, Dragomir Mrsic, Charlotte Riley, Jonas Armstrong dan Franz Drameh cukup menarik untuk ditonton.
Diadaptasi dari novel Jepun berjudul Hiroshi Sakurazaka (All You Need Is Kill), filem arahan Doug Liman ini mengisahkan Leftanan Kolonel William Bill Cage (Cruise) dan Angkatan Tentera Khas Rita Vrataski (Blunt) diarahkan untuk bekerjasama dalam misi menentang bangsa alien yang dikenali sebagai Mimics.
Mereka terpaksa berlawan dan mati berulang-ulang kali dalam kehidupan realiti dan fantasi. Cage pada awalnya merupakan pegawai yang tidak pernah menerima latihan ketenteraan terjerumus dalam misi bahaya.
Terperangkap dalam relung masa, dari semasa ke semasa, kemahiran menghadapi musuh semakin meningkat. Rita Vrataski telah berjaya membuatkan Cage pandai mengeksplotasi pertukaran fantasi dan realiti. Setiap pertemuan kembali berulang sehingga mereka semakin dekat dalam menewaskan musuh.
Aksi menarik
Biarpun ia hanya berkisar tentang peluang Cage yang boleh hidup dan mati berulang kali, namun hampir 80 peratus jalan cerita tidak mengulang kembali apa yang dipertontonkan dari awal.
Apatah lagi, apabila menonton dalam tiga dimensi (3D) ia membuatkan babak-babak aksi tersebut kelihatan lebih menarik, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pertempuran dengan robot.
Bukan itu sahaja, garapan dan permainan Liman juga cukup mendebarkan sehingga durasi filem selama hampir dua jam itu tidak terlalu dirasai.
Masih hebat
Pemilihan Cruise sebagai teraju utama pula pada pandangan penulis adalah satu pemilihan yang cukup tepat.
Biarpun sudah berusia, namun Cruise membuktikan dia masih hebat untuk mengemudi watak aksi dengan penuh cemerlang.
Begitu juga dengan Blunt, yang tampak cukup serasi dengan watak Rita tanpa dibayangi lakonannya dalam filem-filem terdahulu.
Malah mereka berdua juga berjaya ‘bersatu’ untuk sama-sama mengemudi jalan cerita tanpa menimbulkan rasa bosan.
Filem Edge Of Tomorrow menjalani penggambaran di sekitar Eropah seperti di Heathrow, London dan Paris, Perancis.
Edge Of Tomorrow
PENGARAH : Doug Liman
PELAKON : Tom Cruise, Emily Blunt, Bill Paxton, Kick Gurry, Dragomir Mrsic, Charlotte Riley, Jonas Armstrong dan Franz Drameh.
GENRE : Aksi/Penggembaraan/Sains Fiksyen
DURASI : 1jam 53minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 29 Mei