FILEM Disney memang tidak pernah mengecewakan, hasilnya terbukti dalam Maleficent yang dijangka bakal mengulangi kejayaan filem Disney lain seperti Frozen.
Boleh dikatakan filem ini adalah prequel dan kesinambungan cerita dongeng Sleeping Beauty apabila ia merungkaikan kisah sebelum kelahiran Aurora dan cerita selepas puteri raja itu bebas dari sumpahan.
Jika sebelum ini kita lebih mengetahui kisah dari sudut Puteri Aurora yang teraniaya dengan sumpahan, kali ini penonton diperlihatkan dengan sisi Maleficent yang tidak disangka-sangka.
Di dunia pari-pari, Maleficent merupakan pari-pari paling kuat dan mengemudi alam tersebut dengan baik.
Kuasa dan kelebihan Maleficent terletak pada sayapnya yang lebar dan mampu membantunya menumpaskan sesiapa sahaja termasuk mempertahankan dunia pari-pari daripada ancaman manusia.
Ketika itu, dunia manusia dan pari-pari saling bermusuhan lantaran pemerintah manusia mengisytiharkan perang dengan pari-pari kerana ingin menakluki kawasan mereka.
Semasa zaman kanak-kanak Maleficent, dunia pari-pari didatangi oleh seorang budak lelaki yang ingin mengambil permata dari sungai mereka.
Maleficent melindungi budak lelaki itu daripada diapa-apakan oleh pari-pari lain. Dia dan budak lelaki itu kemudiannya bersahabat dan semakin rapat dari hari ke hari.
Mereka menjangkau usia remaja bersama dan budak lelaki itu menghadiahkan Maleficent sebuah kucupan cinta sejati semasa Maleficent berumur 16 tahun.
Untuk sementara waktu, Maleficent terlupa akan permusuhan yang diisytiharkan oleh manusia terhadap pari-pari kerana telah jatuh cinta kepada lelaki tersebut.
Pun begitu, apabila menginjak dewasa, lelaki tersebut sering melupakan Maleficent kerana hanyut dengan godaan dunia manusia.
Maka tercetuslah sebuah tragedi yang mengubah sifat Maleficent sehingga digelar ahli sihir jahat dan sanggup membuat sumpahan terhadap puteri pemerintah dunia manusia, iaitu Aurora.
Sisi ironi Maleficent
Berikutan sumpahan Maleficent, Raja Stefan mengarahkan semua mesin jahit di kerajaan tersebut dihapuskan dan memerintahkan tiga pari-pari baik tetapi dungu untuk menjaga Aurora jauh dari istana supaya bebas dari ancaman Maleficent.
Tiga pari-pari penjaga Aurora membawanya ke sebuah rumah di dalam hutan.
Dengan pertolongan pengikut Maleficent paling setia, iaitu seekor burung gagak yang boleh menjelma menjadi manusia bernama Diaval, Maleficent dapat mengetahui semua jejak Aurora dan penjaganya.
Ketiga-tiga pari-pari itu tidak cekap untuk menjaga Aurora dan seringkali Aurora menangis kelaparan dan hampir ditimpa bahaya gara-gara kecuaian penjaganya itu.
Maleficent yang memerhatikan Aurora dari jauh tanpa disedari selalu membantu puteri raja itu dan menyelamatkannya dari bahaya walaupun langsung tidak berniat untuk melakukannya.
Terbit rasa sayang terhadap Aurora kerana puteri itu membesar dalam pemerhatiannya sehingga Maleficent ingin menarik kembali sumpahan yang dibuatnya terhadap Aurora.
Kuasa cinta sejati
Cinta sejati merupakan subjek klise yang sering ditampilkan dalam filem Disney.
Akan tetapi, Maleficent meletakkan syarat hanya cinta sejati yang mampu memecahkan sumpahannya terhadap Aurora kerana dia yakin cinta sejati tidak wujud setelah cintanya dikhianati suatu ketika dahulu.
Justeru, Maleficent kesal dengan tindakannya menyumpah Aurora kerana menganggap tiada cara untuk menarik semula sumpahan tersebut.
Diaval bagaimana pun, meyakinkan Maleficent bahawa cinta sejati itu wujud dan memberi harapan kepada tuannya bahawa sumpahan terhadap Aurora boleh dibatalkan.
Muncul seorang putera raja dalam filem ini yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Aurora.
Lalu, Maleficent dan Diaval membantu putera tersebut untuk memecahkan sumpahan tersebut.
Keadaan menjadi kucar-kacir kerana bapa Aurora telah bersiap sedia untuk memerangi Maleficent habis-habisan kerana sudak mengagak pari-pari itu akan datang ke istananya.
Apakah nasib Maleficent dan Aurora? Saksikan kisah penuh keajaiban dan menyentuh perasaan dalam filem Maleficent yang telah mula ditayangkan di pawagam minggu ini!
MALEFICENT
PENGARAH: Robert Stromberg
PELAKON: Angelina Jolie, Sharlto Copley, Elle Fanning, Sam Riley, Imelda Staunton, Juno Temple, Lesley Manville
GENRE: Aksi penggambaran
DURASI: 97 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 29 Mei
KESELURUHAN: ***** GERENTI NAK TONTON LAGI!