Faisal Ishak Harap Juvana 2 Tidak Dikaitkan Dengan Kes Buli Lagi



“Saya pernah kecewa apabila filem Juvana disalahkan berikutan kes buli yang menjadi-jadi masa kini. Kerana saya rasa kes buli sudah lama wujud malah sebelum filem ini dihasilkan lagi.

“Saya berharap agar filem ini dijadikan sebagai pengajaran dan iktibar. Ambil yang baik sahaja. Justeru saya berharap agar Juvana yang kedua ini tidak mengundang apa-apa lagi kontroversi,” kata pengarah Faisal Ishak ketika ditemui semasa penggambaran filem terbaru, Juvana: Kebebasan Itu Ada Harganya baru-baru ini.

Faisal berkata demikian kerana pada 2013 filem arahannya berjudul Juvana: Aku Tidak Akan Terperangkap pernah menjadi kontroversi apabila rakaman video sekumpulan remaja sekolah yang melakukan kegiatan buli kepada pelajar lain tersebar.






Dalam video yang dimuat naik ke laman YouTube itu, remaja yang membuli tersebut ada menyebut nama karakter Lan Todak, lakonan aktor Sharnaaz Ahmad.

Bercakap mengenai filem terbarunya, menurut Faisal kali ini sedikit kelainan diberikan dengan mengupas elemen-elemen lain yang belum pernah ditampilkan sebelum ini.

Kata Faisal lagi pihak produksi telah merakamkan dua sekuel filem sekaligus yang mengambil masa 33 hari penggambaran dan mengandungi 40 peratus babak pertarungan.

“Kalau dahulu elemen persahabatan menjadi tunggak penting dalam drama bersiri dan filem pertama, kini kami cuba tampilkan pula elemen kekeluargaan dan bibit cinta.






“Filem Juvana: Kebebasan Itu Ada Harganya ini dijangka masuk panggung pada penghujung tahun ini, manakala filem ketiga yang masih belum mempunyai judul dijangkakan bakal menemui penonton pada Mac 2015,” ujarnya.

Faisal masih mengekalkan pelakon-pelakon seperti Johan As’ari, Zahiril Adzim, Adam Shah dan turut menampilkan ‘wajah’ baru dalam francais ‘Juvana’ iaitu Pekin Ibrahim, Nad Zainal, Hasnul Rahmat, Azwan Kombos dan ramai lagi.
Previous Post Next Post